Foto Editor Odisi

COVID-19: Kenapa Dalam Masa 5 Bulan, 12,000 Kematian Dicatat Di Malaysia, Hong Kong Pula Hanya 1 Dicatatkan Semalam?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Agak merisaukan dan menakutkan jika dilihat dari segi angka kematian akibat COVID-19, jumlah yang dicatatkan di Malaysia adalah amat tinggi.

Untuk 5 bulan yang lepas sahaja 12,000 kematian telah dicatatkan di Malaysia manakala jika hendak dibandingkan dengan Hong Kong pula, untuk jangka masa yang sama, hanya seorang warga emas berusia 73 tahun telah meninggal dunia akibat COVID-19 semalam.

Walaupun kepadatan dan jumlah penduduk adalah berbeza iaitu kira-kira 32 juta jumlah penduduk di Malaysia dan hanya 7 juta di Hong Kong, namun angka kematian yang tinggi ini tidak dinafikan agak menggerunkan rakyat.

Menurut satu hantaran yang dibuat oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Facebooknya, beliau memohon Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ untuk menubuhkan jawatankuasa khas pakar kesihatan awam bagi melihat masalah sebenar mengenai isu angka kematian yang besar ini.

Berikut merupakan Kenyatan Media yang dibuat oleh beliau yang boleh dicapai melalui pautan yang turut diberikan melalui hantaran Facebook tersebut.

Tangkap layar dari Facebook Lim Kit Siang
– Tangkap layar dari Facebook Lim Kit Siang

Khairy perlu segera menubuhkan jawatankuasa khas pakar kesihatan awam yang melibatkan wakil dari sektor swasta untuk mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 yang telah mengorbankan lebih daripada 12,000 nyawa di Malaysia dalam lima bulan yang lepas

Semalam, Hong Kong melaporkan kematian berkaitan dengan Covid-19 yang pertama dalam lima bulan di bandar itu apabila seorang warga emas berusia 73 tahun terkorban semasa bandar tersebut sedang bergelut dengan penularan yang semakin memburuk.

Di Malaysia, dalam lima bulan yang lepas, terdapat lebih daripada 12,000 kematian akibat Covid-19.

Walaupun varian Omikron telah menggantikan varian Delta dengan kadar kematian yang lebih rendah, terdapat 1,062 kematian pada bulan Disember, 498 kematian pada bulan Januari, dan 80 kematian setakat ini di bulan Februari.

Kerajaan perlu memandang kadar kematian ini sebagai satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali dan saya seru supaya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk segera membentuk satu jawatankuasa khas pakar kesihatan awam yang melibatkan wakil dari sektor swasta untuk menurunkan kadar kematian akibat Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyatakan yang setengah juta kematian akibat Covid-19 telah dicatatkan sejak daripada penemuan varian Omikron, mengatakan yang kadar ini “lebih dari tragik”.

Pengurus Insiden WHO, Abdi Mahamud mengatakan lebih daripada 130 juta kes dan 500,000 kematian telah dicatatkan di seluruh dunia sejak varian Omikron diisytiharkan sebagai “variant of concern” pada penghujung November lepas.

Varian ini kemudiannya dengan pantas mengatasi Delta sebagai varian utama Covid di seluruh dunia kerana ia mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi walaupun kelihatan tidak menyebabkan jangkitan yang seteruk Delta.

“Dalam era vaksin yang berkesan, setengah juta orang mati, ia bukanlah satu perkara kecil,” Mahamud mengatakan dalam sidang interaksi secara langsung di talian media sosial WHO.

“Walaupun semua orang mengatakan yang jangkitan Omikron ini tidak teruk, (mereka) tertinggal fakta yang setengah juta nyawa telah terkorban sejak varian ini dikesan,” kata beliau.

“Perkara ini lebih daripada tragik.”

Jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 di Malaysia adalah 32,065 kematian, dengan 2,956,332 kematian terkumpul yang mungkin akan melepasi paras 3 juta kes sebelum minggu ini berakhir.

(Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 10 Februari 2022)

BACA: Varian Omicron: Bazar Ramadan, Solat Tarawih Dan Balik Kampung Raya Tahun Ini Terus Jadi Tanda Tanya

Sumber: Lim Kit Siang