Cium Kaki Ustaz

Cium Kaki Ustaz: Tidak Salah Tapi Tidak Digalakkan?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sebelum ini, pernah berlaku kekecohan akibat pendedahan mengenai amalan mencium kaki ‘ustaz selebriti’ yang dikatakan menyimpang dan terpesong jauh dari ajaran Islam.

Isu ini telah dibahaskan secara meluas di media sosial yang menyaksikan beberapa golongan cerdik pandai dalam bidang agama termasuk juga geng ‘palatau’ berhujah dengan memberi pendapat masing-masing.

Terkini, satu lagi perkongsian ilmu telah dibuat di Facebook oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain bagi menjelaskan secara terperinci mengenai hukum mencium kaki ustaz ini kepada orang ramai.

Benarkah ia sebenarnya dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan di dalam Islam? Jom baca dan fahami huraian panjang lebar yang dibuat oleh Ustaz Hairul berikut:

Cium Kaki Ustaz

Mencium Kaki Sang Guru

Timbul baru-baru ini isu kebenaran mengamalkan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyah Syeikh Nazim al-Haqqani. Antara yang dibangkitkan adalah video pimpinan utama tarekat ini membiarkan kakinya dicium oleh para pengikutnya. Akibat daripada penyebaran video ini, ada di kalangan umat Islam di Malaysia yang menyatakan bahawa tindakan mencium kaki seseorang adalah satu tindakan yang menyeleweng dan syirik kerana ia adalah sujud kepada selain Allah Taala. Oleh kerana isu mencium kaki sudah dianggap sebagai satu perbuatan yang seolah-olahnya adalah haram yang membawa kepada mensyirikkan Allah, maka saya terpanggil untuk mengulas isu ini dari perspektif hukum.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Pernah Dicium Kaki Baginda

Para ulama hadith telah merekodkan tindakan beberapa orang yang pernah mencium kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tanpa sebarang bantahan daripada baginda. Al-Imam al-Tirmidziyy di dalam Sunan beliau telah mendatangkan satu bab khusus yang membicarakan keharusan mencium tangan dan kaki iaitu Bab Ma Ja’ Fi Qublah al-Yadd Wa al-Rijl (Bab Yang Membicarakan Ciuman Tangan Dan Kaki). Beliau telah mendatangkan satu hadith yang berstatus Hasan Sohih di dalam bab tersebut yang isi kandungannya adalah:

عَنْ صَفْوَانَ بْنِ عَسَّالٍ قَالَ قَالَ يَهُودِىٌّ لِصَاحِبِهِ اذْهَبْ بِنَا إِلَى هَذَا النَّبِىِّ فَقَالَ صَاحِبُهُ لاَ تَقُلْ نَبِىٌّ إِنَّهُ لَوْ سَمِعَكَ كَانَ لَهُ أَرْبَعَةُ أَعْيُنٍ فَأَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلاَهُ عَنْ تِسْعِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ فَقَالَ لَهُمْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ تَسْرِقُوا وَلاَ تَزْنُوا وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِى حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ تَمْشُوا بِبَرِىءٍ إِلَى ذِى سُلْطَانٍ لِيَقْتُلَهُ وَلاَ تَسْحَرُوا وَلاَ تَأْكُلُوا الرِّبَا وَلاَ تَقْذِفُوا مُحْصَنَةً وَلاَ تُوَلُّوا الْفِرَارَ يَوْمَ الزَّحْفِ وَعَلَيْكُمْ خَاصَّةً الْيَهُودَ أَنْ لاَ تَعْتَدُوا فِى السَّبْتِ قَالَ فَقَبَّلُوا يَدَهُ وَرِجْلَهُ فَقَالاَ نَشْهَدُ أَنَّكَ نَبِىٌّ قَالَ فَمَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تَتَّبِعُونِى قَالُوا إِنَّ دَاوُدَ دَعَا رَبَّهُ أَنْ لاَ يَزَالَ فِى ذُرِّيَّتِهِ نَبِىٌّ وَإِنَّا نَخَافُ إِنْ تَبِعْنَاكَ أَنْ تَقْتُلَنَا الْيَهُودُ

yang bermaksud:

Daripada Sofwan bin ‘Assal, beliau telah berkata: Seorang yahudi telah berkata kepada temannya: “Pergilah bersama-sama kita kepada nabi ini”. Lalu temannya telah berkata: “Janganlah kamu berkata: nabi. Sesungguhnya kalaulah dia telah mendengar [ucapan] kamu, maka dia telah memiliki empat mata”. Lalu mereka berdua pun telah mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam lantas mereka berdua telah bertanya kepada baginda tentang sembilan tanda yang nyata [yang telah dianugerahkan kepada nabi Musa]. Lalu baginda telah bersabda kepada mereka semua: “Kalian janganlah menyekutukan sesuatu dengan Allah, janganlah mencuri, janganlah berzina, janganlah membunuh satu jiwa yang telah diharamkan oleh Allah melainkan dengan kebenaran, janganlah membawa seorang yang tidak bersalah kepada orang yang memiliki kekuasaan untuk dia membunuh orang yang tidak bersalah tersebut, janganlah melakukan sihir, janganlah makan riba, janganlah menuduh wanita yang suci, janganlah berpaling lari pada hari peperangan dan khusus buat kalian golongan yahudi: janganlah kalian melampaui batas pada hari Sabtu”. Sofwan bin ‘Assal telah berkata: Lalu mereka pun telah mencium tangan baginda dan kaki baginda lantas mereka berdua telah berkata: “Kami bersaksi bahawa anda adalah seorang nabi”. Baginda telah bersabda: “Maka apakah yang menghalang kamu semua daripada mengikuti saya”? Mereka telah berkata: “Sesungguhnya [Nabi] Daud telah memohon daripada tuhan baginda agar nabi akan berterusan ada di dalam zuriat baginda dan sesungguhnya kami takut sekiranya kami telah mengikuti anda, orang Yahudi akan membunuh kami”.

Maka berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa dua orang yahudi tersebut telah mencium kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tanpa sebarang bantahan daripada baginda.

Selain al-Imam al-Tirmidziyy, al-Imam Abu Dawud al-Sijistaniyy juga ada mendatangkan peristiwa lain yang turut menunjukkan bahawa kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pernah dicium oleh para sahabat. Beliau telah meriwayatkan hadith tersebut di dalam Sunan beliau di dalam Bab Qublah al-Rijl (Bab Ciuman Kaki). Hadith yang ke-5227 ini adalah seperti berikut:

عَنْ زَارِعٍ وَكَانَ فِى وَفْدِ عَبْدِ الْقَيْسِ قَالَ لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ قَالَ وَانْتَظَرَ الْمُنْذِرُ الْأَشَجُّ حَتَّى أَتَى عَيْبَتَهُ فَلَبِسَ ثَوْبَيْهِ ثُمَّ أَتَى النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ لَهُ إِنَّ فِيكَ خَلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا أَتَخَلَّقُ بِهِمَا أَمِ اللَّهُ جَبَلَنِى عَلَيْهِمَا قَالَ بَلِ اللَّهُ جَبَلَكَ عَلَيْهِمَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى جَبَلَنِى عَلَى خَلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ

yang bermaksud:

Daripada [Sayyidina] Zari’ -beliau adalah berada di dalam delegasi Abdu al-Qays-, beliau telah berkata: “Tatkala kami telah tiba di Madinah, kami telah mula saling bersegera [turun] daripada unta-unta tunggangan kami. Lalu kami telah mencium tangan Nabi Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dan kaki baginda”. Beliau telah berkata: Al-Munzir al-Asyajj [pula selaku ketua delegasi] telah menunggu sehingga beliau telah mendatangi beg beliau lalu beliau telah memakai dua pakaian. Kemudian [barulah] beliau telah mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam lalu baginda telah bersabda kepada beliau: “Sesungguhnya pada [diri] anda ada sikap yang kedua-duanya dicintai oleh Allah [iaitu] kelembutan dan ketenangan”. Beliau telah berkata: “Wahai Rasulullah. [Adakah] saya berakhlak dengan kedua-duanya atau Allah yang telah menjadikan saya bertabiat dengan kedua-duanya”? Baginda telah bersabda: “Bahkan Allah telah menjadikan anda bertabiat dengan kedua-duanya”. Beliau telah berkata: “Segala puji adalah untuk Allah yang telah menjadikan saya bertabiat dengan dua sikap yang kedua-duanya dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya”.

Pandangan Para Fuqaha Terhadap Ciuman Kaki

Majoriti para fuqaha berpandangan bahawa tidak ada salahnya sekiranya seseorang mencium kaki seseorang yang lain. Al-Imam Ibnu Abidin di dalam kitab Radd al-Muhtar (6/380) dan juga al-Imam al-Tohtowiyy di dalam Hashiyah al-Tohtowiyy ‘Ala Maroqi al-Falah (halaman 319) menyatakan:

ثُمَّ قَالَ الْبَدْرُ الْعَيْنِيُّ: فَعُلِمَ مِنْ مَجْمُوعِ مَا ذَكَرْنَا إِبَاحَةُ تَقْبِيلِ الْيَدِ وَالرِّجْلِ وَالْكَشْحِ وَالرَّأْسِ وَالْجَبْهَةِ وَالشَّفَتَيْنِ وَبَيْنَ الْعَيْنَيْنِ، وَلَكِنْ كُلُّ ذَلِكَ إِذَا كَانَ عَلَى وَجْهِ الْمَبَرَّةِ وَالْإِكْرَامِ، وَأَمَّا إِذَا كَانَ ذَلِكَ عَلَى وَجْهِ الشَّهْوَةِ.. فَلَا يَجُوزُ إِلَّا فِي حَقِّ الزَّوْجَيْنِ

yang bermaksud:

Kemudian al-Badr al-‘Ayniyy telah berkata: Maka diketahuilah daripada himpunan apa yang kami telah nyatakan akan keharusan mencium tangan, kaki, pinggang, kepala, dahi, dua bibir dan antara dua mata. Tetapi semua itu apabila berlaku atas dasar berbuat baik dan memuliakan. Adapun apabila ia dilakukan atas dasar syahwat, maka tidak boleh melainkan pada hak dua orang suami isteri”.

Al-Imam al-Nawawiyy di dalam kitab al-Majmuk (4/636-637) pula telah berkata:

يُسْتَحَبُّ تَقْبِيلُ يَدِ الرَّجُلِ الصَّالِحِ وَالزَّاهِدِ وَالْعَالِمِ وَنَحْوِهِمْ مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ، وَأَمَّا تَقْبِيلُ يَدِهِ لِغِنَاهُ وَدُنْيَاهُ وَشَوْكَتِهِ وَوَجَاهَتِهِ عِنْدَ أَهْلِ الدُّنْيَا بِالدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ.. فَمَكْرُوهٌ شَدِيدُ الْكَرَاهَةِ، وَقَالَ الْمُتَوَلِّي: لَا يَجُوزُ، فَأَشَارَ إلَى تَحْرِيمِهِ، وَتَقْبِيلُ رَأْسِهِ وَرِجْلِهِ.. كَيَدِهِ

yang bermaksud:

Disunatkan mencium tangan lelaki yang soleh, yang zuhud, yang alim dan seumpama mereka yang [tergolong] daripada ahli akhirat. Adapun mencium tangan seseorang kerana kekayaannya, keduniaannya, kekuatannya dan kedudukannya di sisi ahli dunia terhadap dunia dan seumpamanya, maka ia adalah makruh yang bersangatan. Al-Mutawalliyy telah berkata: Tidak boleh. Maka beliau telah mengisyaratkan kepada pengharamannya. Mencium kepala seseorang dan kakinya adalah seperti mencium tangannya”.

Adapun al-Imam Malik bin Anas, beliau berpandangan bahawa seseorang dimakruhkan mencium tangan orang lain. Sebagai contoh al-Syeikh Soleh al-Abiyy al-Azhariyy di dalam kitab al-Thimar al-Dani (halaman 698) telah berkata:

(وَكَرِهَ مَالِكٌ) رَحِمَهُ اللهُ (تَقْبِيلَ الْيَدِ) أَيْ: يَدِ الْغَيْرِ، سَوَاءٌ كَانَ الْغَيْرُ عَالِمًا أَوْ سَيِّدًا أَوْ أَبًا، وَهُوَ ظَاهِرُ نَصِّ أَهْلِ الْمَذْهَبِ؛ لِأَنَّهُ مِنْ فِعْلِ الْأَعَاجِمِ الدَّاعِي إِلَى الْكِبْرِ وَرُؤْيَةِ النَّفْسِ

yang bermaksud:

[Al-Imam] Malik Rahimahullah telah memakruhkan mencium tangan iaitu tangan orang lain sama ada orang lain tersebut adalah orang alim atau seorang ketua atau seorang ayah. Inilah zahir teks ahli mazhab kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan orang-orang bukan Arab yang membawa kepada kebongkakan dan melihat [kelebihan] pada diri sendiri”.

Maka apabila mencium tangan pun dimakruhkan oleh al-Imam Malik, maka lebih-lebih lagilah pada mencium kaki.

Mencium Kaki Tidak Semestinya Bermaksud Sujud

Apabila al-Imam al-Nawawiyy contohnya menyatakan keharusan mencium kaki seseorang atas dasar kerana dia adalah orang yang soleh dan seumpamanya, al-Imam al-Nawawiyy juga pernah ditanya berkenaan dengan hukum sujud kepada para ulama lalu beliau telah menjawab di dalam kitab Fatawa al-Nawawiyy (halaman 72):

هُوَ حَرَامٌ شَدِيدُ التَّحْرِيمِ

yang bermaksud: “Ia adalah haram yang bersangatan pengharaman”.

Bahkan beliau di dalam al-Majmu’ (4/69) telah berkata:

وَلَيْسَ مِنْ هَذَا مَا يَفْعَلُهُ كَثِيرٌ مِنْ الْجَهَلَةِ مِنْ السُّجُودِ بَيْنَ يَدَيْ الْمَشَايِخِ، بَلْ ذَلِكَ حَرَامٌ قَطْعًا بِكُلِّ حَالٍ، سَوَاءٌ كَانَ إلَى الْقِبْلَةِ أَوْ غَيْرِهَا، وَسَوَاءٌ قَصَدَ السُّجُودَ لِلَّهِ تَعَالَى أَوْ غَفَلَ، وَفِي بَعْضِ صُوَرِهِ مَا يَقْتَضِي الْكُفْرَ أَوْ يُقَارِبُهُ، عَافَانَا اللَّهُ الْكَرِيمُ

yang bermaksud: “Sebahagian cara-cara sujud kepada para ulama ada yang membawa kepada kekufuran atau menghampiri kekufuran. Semoga Allah Yang Maha Mulia menyelamatkan kita”.

Komentar daripada al-Imam al-Nawawiyy ini jelas menunjukkan perbezaan antara mencium kaki seseorang dengan sujud kepada seseorang. Sujud hanya terjadi apabila orang yang meletakkan dahinya ke tanah mengahadap kepada seseorang berniat untuk sujud kepadanya. Maka sekiranya seseorang yang menundukkan kepalanya untuk mencium kaki seseorang alim tidak berniat untuk sujud kepadanya, maka dia tidak melakukan sebarang kesalahan dari sudut Syarak kerana dia hanya mencium kaki dan bukannya sujud.

Nasihat Umum Mengenai Mencium Kaki

Semestinya mencium kaki orang yang soleh bukanlah budaya di Malaysia. Namun ia adalah perbuatan yang dibolehkan di sisi majoriti ulama. Maka apabila orang dari negara lain melakukan perbuatan yang janggal pada pandangan rakyat Malaysia, tidak sepatutnya kita mencemuh dan menuduh bahawa ia adalah bertentangan dengan agama sedangkan kita tidak merujuk pandangan para fuqaha terlebih dahulu.

Sekalipun mencium kaki adalah dibolehkan oleh Syarak, Fadhilat al-Syeikh Ali bin Jum’ah selaku mantan Mufti Mesir atas dasar nasihat berpandangan bahawa mencium kaki orang soleh bukanlah satu tindakan yang sesuai kerana ini boleh mengundang salah faham. Beliau juga menyatakan bahawa sekalipun ada para sahabat yang mencium kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, namun mencium kaki baginda bukanlah adat kebiasaan para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Sumber: Facebook Hairul Nizam