Foto Editor Odisi

Cik Puan Gojes (CPG) Letak Jawatan Sebagai Guru Dan Bawa Diri Bersama Keluarga Ke Turki?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Cik Puan Gojes atau lebih popular dengan gelaran CPG telah membuat satu kejutan apabila mengumumkan untuk meninggalkan profesionnya sebagai seorang guru.

Sebelum ini, CPG yang merupakan seorang guru yang bertugas di Baling, Kedah merupakan seorang personaliti popular yang gemar menghulurkan bantuan kepada murid-murid yang kurang bernasib baik.

Usaha murni beliau walau bagaimanapun, mendapat teguran dari ramai pihak kerana dikatakan berupaya mengaibkan murid, menyalahi akta serta tugas seorang penjawat awam.

Walaupun masih tiada pengesahan dan pengumuman rasmi, namun hantaran video yang telah dibuat beliau di Facebook pada 23 Februari yang lalu seolah-olah telah menyatakan pendiriannya yang nekad untuk meletak jawatan.

Turut dimuatkan di akhir klip video berdurasi lebih kurang 1 minit tersebut ialah tangkap layar dari surat rasmi bertajuk NOTIS PERLETAKAN JAWATAN SERTA MERTA dari beliau.

Dalam hantaran yang dibuat bersama video tersebut, CPG turut menyatakan bahawa beliau telah diberi amaran agar menghentikan segala muat naik gambar dan video mengenai usaha bantuan yang disalurkannya.

CPG juga mendakwa beliau sering diperhatikan oleh musuh-musuhnya yang hanya menunggu masa untuk bertindak bagi menjatuhkannya.

Sehinggakan mengambil gambar bantuan yang diberinya selepas waktu sekolah dan gambarnya sendiri dalam perkarangan sekolah untuk dimuat naik ke akaun media sosial sendiri juga tidak dibenarkan.

Paling mengecewakan beliau ialah beliau juga kini tidak dibenarkan untuk membahasakan dirinya sebagai ‘cikgu’ lagi dalam Facebook Cik Puan Gojes dan diminta agar membuka akaun Facebook berasingan untuk tujuan itu.

“ALLAHU, I cannot go lagi. Mungkin CPG tak sesuai jadi cikgu.. SEBAB CPG TAK BOLEH FAHAM AKTA DAN KEHENDAK ORANG”, tulis beliau.

“Sebab tu CPG tekad nak berhenti dan buat semua gambar dan video di luar kawasan sekolah tanpa status penjawat awam”, tambahnya lagi.

CPG turut menjelaskan bahawa beliau tidak menyalahkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan Ketua Jabatan, tetapi hanya kesal kerana mereka turut terkena tempias di atas perbuatan musuhnya yang baru ‘dikenali’.

Tidak dapat dipastikan sama ada surat perletakan jawatan tersebut telah diserahkan atau tidak. Namun, ketika ini, CPG dikhabarkan sedang bercuti dan berehat untuk menenangkan fikiran bersama keluarga di Istanbul, Turki.

Tangkap layar dari Facebook Cik Puan Gojes
– Tangkap layar dari Facebook Cik Puan Gojes

Sumber: Cik Puan Gojes