
China Mungkin Senarai Hitam Syarikat Apple Susulan Perang Dagang AS-Huawei
Hampir setahun sejak perang dagang antara Amerika Syarikat dan China bermula. Terkini, Apple mungkin menjadi salah satu syarikat yang akan disenarai hitam China susulan daripada perang tersebut.
Sejak dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat kerana dikatakan memberikan ancaman serius kepada sistem keselamatan Amerika Syarikat, banyak syarikat berjenama besar menghentikan hubungan mereka dengan Huawei.
Antara yang baharu, Amerika Syarikat telah mengeluarkan arahan baharu yang menyekat Huawei daripada mendapatkan cip dari pengeluar global bagi melengkapkan peranti keluaran mereka.
Selain Apple, syarikat lain yang turut disebut adalah Cisco, Boeing dan Qualcomm. Tindakan ini akan menyebabkan syarikat-syarikat yang termasuk dalam senarai akan dihalang dan disiasat dalam senarai entiti yang tidak boleh dipercayai.
BACA: Jadi Lambang Kemegahan Pengguna, Ini Derita Di Sebalik Operasi Kilang iPhone
Tindakan China mungkin menyenarai hitam Apple ini dipercayai merupakan salah satu respon kepada perang perdagangan yang dimulakan Amerika Syarikat pada tahun lalu.
Menjadi lebih tegang sejak wabak pandemik COVID-19 melanda dunia selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump secara berterusan menyalahkan China sebagai punca penyebarannya ke seluruh dunia.
Perang perdagangan ini bukan hanya telah menjejaskan industri teknologi tetapi juga beberapa industri lain seperti perkhidmatan kurier.
Jun tahun lalu, syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran barang, FedEx telah memfailkan saman kepada Amerika Syarikat selepas daripada polisi mengarut yang diperkenalkan negara berkenaan.
FedEx menerima kecaman dan menjadi mangsa kemarahan rakyat China apabila satu bungkusan yang mengandungi telefon bimbit jenis Huawei P30 Pro yang dihantar kepada penerima di Amerika Syarikat dikembalikan kepada pengirimnya, PCMag di United Kingdom.
Sekatan Amerika Syarikat terhadap beberapa syarikat China telah menyebabkan kesusahan kepada syarikat Amerika kerana telah menjejaskan pendapatan ekonomi mereka. Antara syarikat yang terkena tempias terbesar ialah Google, Intel dan Qualcomm.
Sumber: Global Times
Trending now



