
China Beri Amaran ‘Parcel’ 11.11 Berisiko Tercemar COVID-19 Selepas Tiga Pekerja Diuji Positif
Sejak laman e-dagang mula dikenali ramai dan menjadi medan membeli-belah dalam talian, tarikh 11 November atau 11.11 menjadi tarikh yang diingati sebagai hari berbelanja dengan harga promosi luar biasa.
Namun begitu, orang ramai perlu berwaspada ketika menerima bungkusan daripada pihak penghatar bungkusan.
Ia susulan pihak berkuasa China mengeluarkan amaran mengenai bungkusan yang berisiko tercemar dengan virus COVID-19.
Amaran ini datang selepas tiga pekerja di sebuah syarikat kecil yang membuat pakaian kanak-kanak diuji positif virus itu.
Jangkitan itu ditemui di Haohui Ecommerce Co. yang berpangkalan di Hebei, wilayah sekitar Beijing. Perkhidmatan penghantaran bungkusan di dua bandar iaitu Xinji dan Jinzhou, serta bandar Shenze telah dihentikan serta merta, menurut satu kenyataan kerajaan.
Pihak berkuasa China kini sedang menguji bungkusan dan memantau mereka yang terlibat dalam mengendalikan bungkusan tersebut.
Kira-kira 300 pakej yang diuji mendapat keputusan negatif. Ujian juga telah dilakukan di sebuah daerah kecil di selatan China, Guangxi, yang mana 16 bungkusan daripada syarikat itu dihantar dalam apa yang pihak berkuasa gambarkan sebagai ‘rantaian mel berkaitan COVID-19’.
Suruhanjaya kesihatan tempatan berkata, sesiapa yang menyentuh bungkusan itu perlu menjalani ujian dan pemantauan COVID-19.
China sebelum ini melaporkan pengesanan virus COVID-19 pada bungkusan makalan laut sejuk beku yang diimport.
Amaran ini hadir ketika pembeli China bersiap sedia untuk ‘Hari Tunggal’ Khamis (11 November), bonanza beli-belah dalam talian terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Alibaba Group Holding.
Dalam pada itu, pihak berkuasa China memaklumkan bungkusan dari luar negara atau tempat domestik berisiko tinggi harus dibersihkan.
Walaupun untuk barangan dari kawasan berisiko rendah, penerima digalakkan memakai topeng dan sarung tangan semasa mengambil dan membuka penghantaran.
BACA: Dirai Kaum Lelaki Di China, Ini Kisah Di Sebalik ‘Singles’ Day’ Yang Disambut Setiap 11.11
Sumber: BH
Trending now



