
Chef Amer Kongsi Panduan Untuk Memilih Sos Tiram Mengikut Jenis Dan Kandungannya
Satu perkongsian yang dibuat oleh salah seorang cef tersohor di Malaysia, Chef Amer mengenai sos tiram menjadi viral apabila kini telah mendapat 4.5K tanda suka dan diulang kongsi sebanyak 9K kali!
Kalau nak tahu, sebenarnya terdapat 5 jenis sos tiram di pasaran iaitu Sos Tiram, Sos Perisa Tiram, Sos Tiram Premium, Sos Tiram Tiruan Sayuran dan Sos Berperisa Tiram Ekonomi.
Jenis-jenis sos tiram ini pula adalah mengikut kandungan ekstrak tiramnya yang berbeza-beza, tau?
Nak tahu apa pula perbezaanya? Jom baca perkongsian yang dibuat di Facebooknya ini.
Terima kasih, Chef Amer!
Masa saya beli Sos Tiram kat NSK tadi, tiba-tiba ada seorang Auntie India ni tanya saya yang mana satu Sos Tiram untuk vegetarian.
Saya pun tunjukkanlah yang mana satu.
Kemudian dia tanya lagi apa beza Sos Tiram yang lain-lain tu.
Ehhh… macam kat kelas pulak dia tanya.
Sedang saya terangkan kat dia, datang pulak Mak Cik ni tanya, Sos Tiram brand apa yang paling best.
Aikkk… sah!
Dah boleh buat kelas pasal ni kat NSK.
Ok, Sos Tiram ni ada 5 jenis.
- Sos Tiram
– Kandungan ekstrak tiram lebih dari 10% dan boleh dipanggil Sos Tiram
– Rasa tiram yang sebenar
– Jenama Panda Lee Kum Kee
- Sos Perisa Tiram
– Kandungan ekstrak tiram kurang 5%, sebab tu tak boleh dipanggil Sos Tiram, hanya berperisa tiram sahaja
– Rasa tiram yang ‘mild’
– Jenama Maggie, Nona, Adabi, Taste-me
- Sos Tiram Premium
– Kandungan ekstrak tiram 40%
– Rasa tiram yang sangat padu
– Jenama Premium Lee Kum Kee (ibu dan anak dalam sampan)
- Sos Tiram Tiruan Sayuran
– Tiada langsung ekstrak tiram dan digantikan dengan serbuk cendawan (1%) serta perasa sahaja
– Sebab tu sesuai untuk Vegetarian
– Jenama Sos Berperisa Tiram Sayuran Lee Kum Kee, Taste-Me
- Sos Berperisa Tiram Ekonomi
– Kandungan ekstrak tiram yang sangat sedikit atau tiada langsung, sekadar perasa dan kicap serta pemekat sahaja
– Harga sangat murah dan dijual dalam tong 3 atau 5kg
– Jenama Puteri, Emos, HTH
Haaa….dah tahu sekarang nak beli Sos Tiram yang mana?
Dah kandungannya berbeza, tentulah harga juga berbeza.
Ikutlah citarasa, budget dan tujuan masakan masing-masing.
Satu lagi, tentu ramai yang akan bertanya tentang status HALAL Sos Tiram ni kan.
Nasihat saya, terlanjur dah baca tentang kandungan atau bahan yang digunakan, tengoklah sekali cop halal dia ya.
Rajinkan sikit membaca tu, jangan main ambil jer.
Company besar-besar ni, bukan setakat ada sijil HALAL, malah ada HACCP dan ISO lagi.
Gunalah tanpa was-was walau pun ada tulisan Cina kerana ini pasaran mereka.
#bilachefamermembebel
#SosTiram
BACA: Kandungan Asid Benzoik Dalam Kicap, Ini Apa Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu
Sumber: Chef Amer
Trending now



