
Cerita Rekaan Merepek Yang Netizen Suka Sangat ‘Share’ Dan Jadi Trend Zaman Sekarang
Memang ada banyak kisah masyarakat yang sering dikongsikan oleh netizen di media sosial yang wajar dan sesuai dijadikan sebagai pengajaran serta iktibar untuk semua.
Namun, kebelakangan ini didapati ada juga kisah-kisah yang agak karut, merepek dan seolah-olah direka-reka untuk mengejar ‘Like’ dan ‘Share’ semata-mata.
Entahkan betul atau tidak, tapi yang paling tidak enak didengar ialah apabila cerita-cerita itu dilihat seperti suka memburuk-burukkan orang lain serta sengaja dikaitkan pula dengan kelas pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20.
Menyedari trend tidak sihat ini, berikut merupakan sebuah kisah hasil nukilan Muhamad Harris Nasril yang sengaja direka di Facebooknya bagi menyindir secara sinis warganet serta beberapa ‘golongan’ tertentu yang gemarkan cerita-cerita sebegini.
Ketika saya sedang makan tengah hari di satu restoran, sebelah saya ada satu keluarga.
Makcik dan pakcik dalam umur hujung 50an dan seorang lelaki, anaknya dalam umur hujung 20an.
Mereka sedang rancak berbual, agak panas juga suasananya.
“Kau tu dah ada pekerjaan stabil. Gaji pun lebih RM10k. Kenapa bagi mak sikit sangat? RM1k yang kau bagi tu, tu sehari mak gi shopping pun boleh habis tau tak!” kata ibunya dengan muka bengis.
“Itu je yang saya mampu mak. Saya kereta pun tak ada. Saya kumpul duit mak nak beli rumah untuk kita. Rumah kita duduk sekarang sempit, 3 bilik…. Nanti saya kahwin…” belum sempat anaknya menghabiskan ayat itu, bapaknya pula menjerit.
“Muda-muda lagi dah nak fikir pasal kahwin! Tolonglah keluarga dulu! Ayah ni kuat lagi! Ayah yang sepatutnya kahwin satu lagi. Mak kau pun dah setuju! Kau tambah bagi mak RM3k. Ayah kau bagi RM2k. RM5k kau simpan la pandai-pandai buat belanja”.
“Mak nak beli emas! Emas! Kau tak tau ke ekonomi sekarang teruk, mata wang makin turun, emas tu akan bantu kita nanti” emaknya pula membebel.
Pergh inilah perangai B40. Anak baru nak hidup, sanggup nak bebankan anak semata-mata kepentingan diri sendiri. Kalau dari kecil dah B40, sampai ke tua pun minda B40 tu melekat, sampai ke cucu cicitlah, bergenerasi. Macam mana la negara nak maju?
OK, baiklah. Jangan marah-marah. Di atas semua ni adalah certot rekaan semata-mata memburukkan orang dan mengutuk B40 yang saya karang untuk mendapat secebis ‘like’ dan ‘share’ kerana dah menjadi trend sekarang ni begitu.
Sedap-sedap je buat cerita nak main kutuk-kutuk kelas orang. Kau nak kutuk best, kau kutuk golongan kapitalis la. Duit depa banyak, tapi kau punya cuti dia tak luluskan, kau punya kenaikan gaji ciput, OT dia potong sana sini, EPF kau dia tak carum. Cerita macam ni betul dan memang ada. Kau sedap reka cerita wujudkan ruang antara kelas-kelas ni dapat like je, bukan dapat duit pun. Netizen pun ngok, cerita rekaan pun gi share, bukti video apa tak ada. Patutlah senang kena tipu dengan politician. Depa cakap undi depa, tol hapus pun pi percaya. Tu belum lagi pasal certot rekaan “dia terdiam”. Certot tu berpuluh ribu share dulu lepas PRU kau orang ingat lagi tak? 😆
BACA: 5 Berita Palsu Yang Pernah Fenomena Satu Malaysia Dan Kisah Sebenarnya
Sumber: Muhamad Harris Nasril