
Cef Terkenal Perancis Dakwa Lebih Selamat Makan Di Restoran Ketika Pandemik
Bintang cef terkenal Perancis berpendapat adalah lebih selamat makan di restoran berbanding di rumah ketika pandemik COVID-19.
Alain Ducasse menegaskan risiko terkena jangkitan virus dengan membeli dan memasak di rumah adalah lebih tinggi, lapor AFP.
“Lebih baik makan di restoran yang mengambil kira semua langkah pencegahan berbanding di rumah yang mana anda perlu bersesak di pasar raya, menyentuh makanan dan bukan semua orang memakai penutup mulut dan hidung,” katanya.
Pemilik restoran 17 bintang Michelin, taraf tertinggi dunia, itu berkata restoran merupakan tempat lebih bersih untuk makan. Ducasse mendakwa, restoran ditutup berdasarkan nasihat saintifik untuk menghentikan penularan virus dan untuk menguatkuasa penjarakan sosial.
Seluruh restoran di dunia kini ditutup bagi mengekang penularan wabak selain salah satu kaedah penjarakan sosial.
Namun kebanyakannya masih dibuka untuk khidmat penghantaran dan pembungkusan makanan, termasuk restoran milik Ducasse.
Kerajaan Perancis baru-baru ini berkata pihaknya akan menentukan tarikh restoran dan kafe akan dibuka hujung Mei, jika jumlah kematian terus menurun.
Perancis antara negara paling ramai tumpuan pelancong, dengan kira-kira satu juta rakyat bekerja di sektor hospitaliti.
Restoran dan kafe merupakan simbol identiti dan budaya negara itu, namun ia ditutup sejak enam minggu lalu ekoran Covid-19.
Ducasse menyifatkan perintah berkurung sebagai ‘bencana’ untuk sektor itu, yang kebanyakannya milik perniagaan keluarga dan hanya mampu bertahan untuk beberapa minggu sahaja.
Ducasse mengeluarkan komen keselamatan tersebut selepas mengemukakan kes pembukaan semula restoran ‘secara beransur-ansur’ di Perancis kepada Presiden Emmanuel Macron pada Jumaat.
Ducasse berkata Macron telah menimbang hujah beliau, menambah kafe dan restoran mungkin dibuka semula di antara 2 dan 20 Jun jika angka kematian akibat virus itu terus berkurangan.
Kerajaan Perancis berkata ia akan memutuskan bila kafe, restoran dan hotel akan dibuka pada akhir Mei nanti. Selain itu, jemaah menteri juga sudah mengenal pasti 17 keutamaan secara berperingkat-peringkat bagi melonggarkan perintah berkurung yang sudah dilaksanakan lapan minggu, dengan terkawal, progresif mulai 11 Mei ini.
Sekolah di beberapa daerah dijangka dibuka semula dengan perniagaan dan pengangkutan awam kembali beroperasi seperti biasa dan sokongan penjagaan orang tua kembali berjalan seperti sebelumnya.
Sumber: The Jakarta Post