
Catat Kes Lebih 2 Juta, 3.5 Juta Petugas Kesihatan Di India Lancar Mogok
Catat kes lebih dua juta, 3.5 juta petugas kesihatan India lancar mogok.
Setakat pagi ini, kes positif COVID-19 di India sudah pun mencecah 2.15 juta dengan penambahan kes harian sebanyak 65,156 dan 875 yang terkorban. Jumlah tersebut membawa kepada jumlah korban sebanyak 43,453 dengan 628,763 kes aktif.
BACA: Sistem Kasta Di India Burukkan Lagi Statistik Kematian Akibat Kebuluran Pandemik COVID-19
Dengan jumlah tersebut, India merupakan negara ketiga di dunia yang mencatatkan kes paling tinggi selepas Amerika Syarikat (5.14 juta) dan Brazil (3.01 juta).
Susulan penambahan mendadak kes di India, seramai 3.5 juta petugas kesihatan di India meluahkan rasa marah kepada pihak kerajaan supaya menyediakan peralatan perlindungan diri yang lengkap untuk mereka melakukan rawatan selain daripada kenaikan gaji dengan mengadakan mogok selama dua hari.
India merupakan negara yang memiliki pengeluaran per kapita terendah untuk rawatan kesihatan dan ini menjadi alasan wabak COVID-19 semakin menular di sana terutamanya di kawasan kecil dan luar bandar yang mana langkah pencegahan seperti pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial jarang-jarang dilaksanakan.

Penduduk di kawasan ini mempunyai stigma dan ketakutan untuk diasingkan sekiranya mereka disahkan dijangkiti COVID-19 menjadikan ada yang marah apabila petugas kesihatan mahu melakukan ujian saringan kontak rapat. Malah yang lebih buruk, kawasan kampung ‘dipagar’ dan diletakkan tanda ‘orang luar tidak dibenarkan masuk’.
Di Malaysia, satu kluster baharu dicatatkan iaitu kluster Sivangangga selepas kes indeks kluster ini yang baru pulang dari India mengingkari arahan kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
BACA: Kluster Sivagangga Merebak Lebih Cepat, Kini Sudah Merentasi Sempadan Negeri
KKM kini sedang mengkaji kemungkinan negara berdepan kluster super spreader atau perebak utama iaitu keadaan di mana seorang individu berupaya menjangkiti ramai orang. Setakat semalam, jumlah kes kluster ini sudah pun mencecah 43 orang dengan 4,198 yang disaring.
Terdapat 23 kluster #COVID19 yang aktif sehingga 8 Ogos.
Kluster yang melaporkan kes baharu dalam tempoh terdekat ialah PUI Sivagangga, Bukit Tiram dan Sentosa.
Kluster diisytihar tamat apabila tiada kes baharu selepas dua kali tempoh inkubansi iaitu 28 hari. pic.twitter.com/oZ3M1waHcv
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) August 9, 2020