Akhi Fairuz Al-Jengkawi

Cara Yang Betul Untuk Melatih Kanak-Kanak Berpuasa Dan Bagaimana Mereka Sepatutnya Disantuni Di Masjid

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini, surau dan masjid di Malaysia seolah-olah kurang meriah tanpa kehadiran dan gelak tawa kanak-kanak.

Selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan bermulanya Ramadan, timbul rasa syukur kerana akhirnya dapat jua umat Islam kembali mengimarahkan masjid bersama keluarga untuk solat tarawih berjemaah.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) di Putrajaya turut membuat ciapan, “Jika anak-anak berlari ke sana-sini, menjerit, kami harap tuan puan boleh berlapang dada, kerana masjid ini telah 2 tahun merindui suara kanak-kanak.”

Namun, jika diperhatikan sebenarnya memang terdapat perbezaan yang ketara bagaimana rakyat Malaysia menyantuni kanak-kanak ketika di masjid berbanding dengan negara lain.

BACA: Nak Main PS4 Pun Boleh, Masjid Di Amerika Syarikat Ini Sediakan Aktiviti Menarik Untuk Golongan Anak Muda

Cara melatih kanak-kanak berpuasa juga lebih dititikberatkan kepada menahan lapar dan dahaga tanpa menyedari Rukun Islam Kedua adalah lebih penting untuk diajarkan kepada mereka.

Maka, tidak hairanlah di Malaysia memang telah lama terbentuk generasi yang hanya pandai berpuasa penuh di bulan Ramadan, tetapi amat gagal dalam mengerjakan solat fardu 5 waktu.

Perkara ini telah disuarakan dengan panjang lebar oleh Mohd Fairuz Bin Abu atau lebih dikenali dengan gelaran Akhi Fairuz Al-Jengkawi di Facebooknya berikut:

Akhi Fairuz Al-Jengkawi

Anak buat masalah, dirotan semahu mungkin. Katanya, aku dulu kena lagi teruk dari tu, elok je jadi manusia. Ya, kau jadi manusia yang tiada perasaan simpati dan empati kepada si kecil.

Budak berlari dalam masjid, bermain sana sini, habis mereka dimarahi. Katanya mengganggu orang solat. Tak tahu adab! Siapa yang tak ada adab sebenarnya? Adakah memarahi kanak-kanak bermain dalam masjid benar-benar mengikuti sunnah Nabi SAW atau sebaliknya?

Bila membaca perkongsian Ustaz Abu Hurairah Roslan yang bersolat tarawih di Masjid Hagia Sophia, Istanbul, terus rasa sebak, gembira dan terharu.

Bayangkan, ada jemaah datang sekeluarga ke masjid, lalu si isteri ke tempat perempuan, si bapa pergi solat di tempat lelaki, anak-anak pula dibiarkan di ruangan tengah antara jemaah lelaki dan perempuan untuk bermain, berlari serta bersosial dengan kawan-kawan seusia.

Jika si anak ini terlanggar orang dewasa, individu berkenaan akan usap kepala si kecil dan memberikan senyuman. Habis solat, keluarga ini akan bertemu kembali di tempat mereka berpecah. Indah sungguh.

Bukan kisah Ustaz Abu ini sahaja, bahkan kisah rakan-rakan Facebook bersolat di Mekah, di negara-negara Arab bahkan masjid-masjid di negara barat. Semuanya membawa kisah kanak-kanak disantuni dengan baik di masjid.

Tiada kisah pakcik masjid jegil mata pada kanak-kanak, jerkah budak lari sana sini dalam ruang solat, halau budak yang duduk di belakang masjid untuk balik rumah bahkan ada yang berbahasa kasar.

Itu belum lagi kes budak baru nak kenal dunia, umur baru 6 tahun, 7 tahun, 8 tahun, 9 tahun, tapi dipaksa untuk berpuasa penuh!

Sedih ya amat membaca hantaran terbaru Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan. Budak 6 tahun, sampai lembik si kecil tu dek dipaksa berpuasa! Pulak tu, dimalukan lagi depan kanak-kanak yang lain! Yang buat tu guru pra sekolahnya sendiri!

Akhirnya budak tu tak nak ke sekolah, tak nak berpuasa, tak nak buat apa-apa! Ish lah orang dewasa, apa yang ada dalam benak pemikiranmu sebenarnya?

Membaca kisah yang dikongsi oleh Cikgu Fadli Salleh pun buatkan jiwa ni sebak. Lagi kisah kanak-kanak yang dipaksa berpuasa di sekolah oleh guru tadika dan guru darjah 1.

Tahu apa yang lebih penting dari berpuasa buat anak berusia 10 tahun ke bawah?

Jawapannya adalah SOLAT!

Yang itu boleh dipaksa. Ajak, pujuk, didik, sabar, ajar sejak usia mereka 7 tahun hinggalah ke 10 tahun. Jika tak solat lagi, barulah boleh dirotan. Itupun tidak mencederakan, hanya tujuan mendidik, bukan melepaskan geram dek tekanan kerja, ekonomi, pasangan dan entah apa lagi hantu dalam fikiran itu.

Bulan Ramadan ni patut didik anak memahami kelebihan bulan Ramadan, kenapa kena berpuasa, apa hikmahnya, kenapa kena bayar zakat fitrah, kenapa perlu berlapar dan dahaga sepanjang hari, kenapa kena rasai kesusahan orang miskin, ajar anak untuk menjaga percakapan, tidak marah-marah, jangan gaduh sesama adik beradik, jaga pandangan mata dari melihat benda lucah serta perkara haram, jauhi maksiat dan banyak lagi!

Bukan hanya dok fokus tahan lapar dan dahaga dari Subuh hingga Maghrib! Ajar dulu hikmah dari bulan Ramadan ni! Paling penting fokuskan dulu pasal Al-Quran!

Bulan Ramadan ni bulan Al-Quran! Banyakkan bertadarus, bertilawah, betulkan bacaan dan lain-lain. Buat aktiviti ini bersama pasangan dan anak-anak.

Barulah budak tu nampak betapa istimewanya bulan Ramadan ni. Bila dah nampak hebat, dah faham kenapa kena solat, barulah ada kekuatan untuk berpuasa.

Dan tuntutan berpuasa ini hanya terpakai kepada mereka yang dah akil baligh. Kanak-kanak tak berdosa pun jika puasa separuh hari, makan masa waktu rehat. Yang penting didik dulu betapa besarnya rahmat Allah bagi pada orang Islam dalam bulan Ramadan.

Sekarang dah faham kenapa ramai sangat orang Islam steady puasa, tapi tak solat. Ya lah, dah itu sahaja yang diajar sejak kecil. Akhirnya dapat lapar dan dahaga sahaja.

Pulak tu, masih terbiasa dengan perbuatan mengumpat, buat maksiat, tak jaga lidah, tak jaga penulisan, masih layan porn masa bulan Ramadan.

Saya merayu, bentuklah jiwa-jiwa anak-anak untuk faham dulu dalam melakukan ibadat yang diperintahkan oleh Allah. Usah ikut orang lain.

Sekian luahan hati malam ini.

Akhi Fairuz Al-Jengkawi
#TukangCeramahBudakSekolah

*********

*Situasi*: AJK Masjid/pakcik masjid/orang dewasa nampak budak bermain sambil berlari dalam masjid, maka mereka pun menegur kanak-kanak berkenaan.
Pakcik: Lajunya lari! Terkejut pakcik tengok. Meh sat kat pakcik ni.
(Kanak-kanak berkenaan pun pergi)
Pakcik: Ha, awak. Mari pakcik pegang kaki ni. (Pegang kaki dia). Wah, kuat ni. Patutlah boleh lari laju-laju! Gini gaya boleh wakil Malaysia menang emas Sukan Olimpik dalam acara 100 meter pecut. (Puji)
(Budak-budak akan tersenyum dan rasa dihargai)
Pakcik : Tapi pakcik nak pesan, hati-hati masa berlari tu, nanti tersadung kaki, dah terjatuh. Luka sana sini. Bila kaki dah kuat begini, mesti dapat bertahan berdiri dalam solat.
Ha, jom kita solat ya. Rugi kaki kuat macam ni tak gunakan sebaiknya. Anak-anak akan dapat pahala, Allah pun sayang.
*Demikianlah teguran yang sepatutnya*

******

*Situasi 2*: Imam pesan sebelum solat.
“Perhatian buat ahli jemaah yang pakai cermin mata, elakkan dari meletakkan spek di lantai ya. Handphone pun sama, simpan di kocek seluar atau baju. Khuatir anak-anak terlanggar dan terpijak.*

******

*Situasi 3*: Didik dulu anak solat di rumah secara tertib. Barulah dia okey bila solat dalam saf orang dewasa. Win-win situation. Kita senang, jemaah lain pun senang. Jika tidak, adalah kisah yang tak diingini berlaku nanti; cermin mata ahli jemaah dipijak, anak dok ambil phone ayah dok main game dan lain-lain. Adab tetap kena tekankan.

Sumber: Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi