
Cara Menyambut Aidilfitri Menurut Sunah Rasulullah SAW
Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari hampir sebulan ibadah puasa dilunas. Menjadi lumrah, memasuki pertengahan Ramadan, ramai yang sudah mula berkira-kira membuat persiapan meraikan Aidilfitri.
Tiada salahnya kita untuk menzahirkan rasa kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri kerana ia adalah hadiah Allah SWT atas kemenangan hamba-hamba-Nya menahan nafsu sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun, harus diingatkan umat Islam perlu meneruskan disiplin dan adab seperti sepanjang Ramadan supaya Syawal tidak dicemari dengan amalan atau perbuatan yang tidak sepatutnya.
Meneladani amalan dan adab sambutan Syawal Rasulullah SAW perlu dilaksanakan, terutama untuk memastikannya tidak diisi dengan aktiviti sia-sia dan berunsur kemaksiatan.
Antara sunah Rasulullah SAW dalam menyambut Syawal adalah:
1. Berpakaian bagus dan berhias pada hari raya
Sahabat Baginda, Jabir pernah memberitahu, “Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari Jumaat.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)
Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan Abdullah bin Umar akan mengenakan sebaik-baik pakaian pada hari raya. Maka, berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah amalan sunah yang pernah dilakukan Rasulullah SAW dan sahabatnya.
2. Mandi sunat
Kita dianjurkan mandi sunat hari raya sebelum keluar rumah untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya.
Imam Malik melaporkan, Abdullah bin Umar akan mandi terlebih dahulu pada hari raya Aidifitri sebelum beliau berangkat menunaikan solat sunat hari raya.
Imam An-Nawawi memberitahu amalan mandi sunat sebelum menunaikan solat hari raya disepakati dalam kalangan ulama.
3. Jamah makanan sebelum solat hari raya
Rasulullah SAW dikatakan tidak akan keluar dari rumahnya pada hari raya melainkan Baginda memakan beberapa biji buah tamar terlebih dahulu.
Kita disunatkan makan apa saja hidangan dalam kadar sedikit bagi mengalas perut. Amalan itu adalah simbol hari kemenangan dan umat Islam diharamkan berpuasa.
Tidak menjadi halangan untuk makan apa yang terhidang sebelum ke masjid, namun amalan makan kurma itu sesuatu yang sangat digalakkan kerana ia sebahagian sunah Rasulullah SAW.
4. Bertakbir
Seterusnya, bertakbir ketika keluar dari rumah. Sahabat Baginda sentiasa melakukannya ketika mereka keluar rumah menuju ke tempat solat hari raya.
Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan, Abdullah bin Umar akan bertakbir bermula saja beliau melangkah kakinya keluar rumah sehinggalah beliau tiba di tempat solat.
5. Menunaikan solat sunat Aidilfitri
Sunah paling afdal dan terbesar adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah. Pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, solat Aidifitri dilakukan di kawasan lapang dan terbuka.
Ummu Athiyyah memberitahu, “Rasulullah memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada hamba, wanita yang uzur dan juga pemudi. Wanita uzur hendaklah menjauhi tempat solat dan saksikanlah kebaikan serta seruan kaum Muslimin.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
6. Amalan bermaafan
Amalan bermaaf-maafan tidak dapat dipisahkan daripada sambutan hari raya. Kita dianjurkan membuka lembaran baharu dengan saling bermaafan.
Mereka yang masih memendam sengketa lama untuk sama-sama meninggalkan yang keruh dan kembali ke pangkuan keluarga dengan rasa insaf serta syukur.
BACA: Umat Islam Akan Sambut 2 Kali Ramadan Pada 2030 & 2 Kali Aidilfitri Pada 2033
Sumber: HM