MAS diskaun 20 peratus tiket guru pelajar

Cara Dapatkan Diskaun 20 Peratus Tiket MAS Bagi Penerbangan Domestik Khas Untuk Guru, Pensyarah, Pelajar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) bersetuju menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada golongan pelajar, guru dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPT) awam serta swasta untuk tiket penerbangan domestik ke sekolah dan IPT di seluruh negara, berikutan sesi pembelajaran yang akan bermula.

Diskaun khas itu diberikan untuk tempoh tertentu bagi perjalanan pulang semula ke sekolah atau IPT masing-masing, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Cara untuk mendapatkan diskaun tiket penerbangan ini:

Para guru dan pensyarah boleh mula menempah tiket penerbangan bermula dari 9 Julai hingga 10 Ogos bagi perjalanan pada 10 Julai sehingga 30 November 2020.

Diskaun itu boleh diperolehi melalui tempahan yang dibuat secara dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kelak.

Bagi pelajar pula, diskaun 20 peratus akan diberikan kepada pelajar melalui program MH Explorer yang boleh diperolehi mereka dengan menjadi ahlinya, melalui laman web Malaysia Airlines.

MAS diskaun 20 peratus tiket guru pelajar
Sumber: Malakat Tribune

Difahamkan, diskaun pelajar akan terus dinikmati sehingga 30 November 2020 atau tamat tempoh keahlian mengikut syarat MH Explorer.

Di samping itu, Ismail Sabri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan Malaysia Airlines Berhad atas persetujuan untuk memberikan diskaun kepada pensyarah, guru dan pelajar.

Beliau juga berharap syarikat penerbangan lain boleh turut serta menurunkan harga tiket penerbangan seperti mana yang dibuat oleh MAS.

Justeru, ringanlah sedikit beban kewangan para pendidik dan pelajar untuk pulang ke kampus dalam waktu terdekat.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta syarikat-syarikat penerbangan di sini perlu pertimbang untuk menurunkan harga tambang dan meningkatkan kekerapan penerbangan memandangkan orang ramai masih mengeluh dengan harga tiket yang ditawarkan.

Sumber: BH