Antivaksin Gelar KJ Dajjal

“Call Me Dajjal Or Whatever” – KJ Tetap Pendirian Bertegas Terhadap Antivaksin

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

KJ tidak ambil pusing digelar dajjal oleh antivaksin.

Sejak negara sudah mencapai lebih 90 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa, dakyah-dakyah yang disebarkan oleh kelompok antivaksin semakin berleluasa.

Kali ini, heboh di media sosial apabila golongan ini menuduh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggunakan tangkal serta jin untuk melindungi dirinya.

Namun, tomahan itu dibalas sinis Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ menerusi Instagram Stories.

“Salah, Saya guna 4 jenis jin vaksin untuk lindungi Malaysia, Sinovac, Pfizer, CanSino dan AstraZeneca,” tulis beliau.

Dalam hantaran itu, beliau turut memuat naik tangkap layar apa yang kelihatan seperti perbualan dalam kumpulan Telegram dalam kalangan mereka yang menolak vaksinasi.

Antivaksin Gelar KJ Dajjal
Sumber: IG

“Call me dajjal or whatever.”

Namun, bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan tegas kerajaan yang menggunakan ‘pendekatan mengugut’ dalam mengawal kelompok antivaksin ini disifatkan sebagai satu langkah sombong.

Menurut Anwar, menjadi usaha kerajaan memastikan semua rakyat di negara ini menerima vaksin adalah dengan menggunakan kaedah merayu dan mendidik golongan ini mengenai kelebihan vaksin bagi menentang COVID-19.

KJ bagaimanapun menepis kenyataan Anwar, tetap bertegas mengenai isu antivaksin walaupun digelar ‘dajjal’.

“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin COVID-19 dari awal lagi. Kita terus memberi penerangan.

I’m sorry, i have to be firm on this issue. Call me dajjal or whatever. (Saya minta maaf, saya kena tegas dalam isu ini. Panggilah saya dajal atau sebagainya),” kata Khairy menerusi ciapan Twitter.

Malah, kata beliau, pihaknya telah mengemukakan segala bukti dan saintifik berhubung pelalian tersebut dan usaha itu tidak pernah terhenti.

Melihat pada ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan ketegasan KJ. Namun, ada juga mengharapkan kerajaan mencari solusi terbaik untuk membantu kelompok antivaksin.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan menegaskan tidak akan memudahkan kehidupan golongan antivaksin sekiranya mereka masih berdegil untuk tidak mengambil vaksin tanpa sebab.