Bukit St Paul Tukar Nama Bukit Melaka

Bukit St Paul Bakal Ditukar Kepada Nama Asal Bukit Melaka, Ini Sejarah Yang Ramai Tak Tahu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pertukaran nama Bukit St Paul di Bandar Hilir kepada nama asalnya iaitu Bukit Melaka bakal direalisasikan selepas pelbagai usaha yang dibuat oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sejak isu itu dibangkitkan pada 2020 lalu.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, terdapat beberapa sumber sejarah yang perlu dikenal pasti sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya untuk diwartakan.

Bagaimanapun, beliau yakin, pertukaran yang dibuat bagi mengembalikan identiti dan jati diri, dapat direalisasikan selewat-lewatnya tahun ini.

Beliau menjelaskan, ia bukanlah sebagai satu cubaan untuk menukar sejarah apabila disoal tentang keperluan pertukaran nama oleh pihak yang tidak bersetuju.

Ujarnya, ia berikutan Bukit Melaka adalah nama asal yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka, sebelum ketibaan penjajah. Dalam pada itu, nama gereja Bukit St Paul yang terdapat di bukit berkenaan masih kekal.

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong, pihak PERZIM juga sudah memulakan langkah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menunjukkan pertukaran nama bukit tersebut sebagai Bukit Melaka.

“Bukit ini menjadi saksi bisu kepada kepesatan pembangunan dan kemakmuran Melaka, dari zaman kesultanan Melayu Melaka sehingga kepada kehancuran, serta peperangan demi peperangan silih berganti, dari kuasa-kuasa Barat.

“Jadi, keputusan menukar nama ini untuk kembalikan identiti dan jati diri, daripada penjajah kepada tempatan,” kata Pengurus Besar PERZIM Mohd Nasruddin Rahman.

Bukit St Paul Tukar Nama Bukit Melaka
Sumber: Aminuddin Yahaya

Nama bukit sering berubah kerana penjajah

Mengikut catatan sejarah, bukit paling tinggi di Bandar Hilir itu merupakan kawasan pentadbiran dan tapak asal Istana Kesultanan Melayu Melaka yang turut dinamakan Bukit Melaka sebelum era penjajahan.

Kemudian, namanya berubah-ubah sejak 1511 apabila ditawan Portugis, Belanda dan British. Ketika dijajah Portugis, bukit tersebut dinamakan Bukit Ali Maria atau Monti Ali Maria dengan membina gereja di situ dan bertukar kepada Bukit St. Paulo atau Boquit St. Paulo pada zaman Belanda bermula 1641.

Semasa British menjajah sejak 1825, mereka gunakan pula nama Bukit Bendera berikutan ada sebatang tiang tinggi yang mengibarkan bendera Union Jack.

Namun, nama itu pun tidak bertahan lama dan bertukar menjadi Bukit St. Paul sehingga hari ini.

Gereja lama tidak berbumbung yang terletak di atas bukit itu merupakan markas mubaligh Kristian, Francis Xavier menyebarkan ajaran Kristian dan turut dikenali sebagai gereja tertua di Asia Tenggara.

Justeru, Bukit St Paul atau Bukit Melaka ini amat penting bagi semua pihak kerana ia memiliki nilai sejarah yang begitu panjang.

Bukit St Paul Tukar Nama Bukit Melaka
Sumber: Holiday Inn Melaka

BACA: Sejarah Kota A Famosa Yang Dibina Dari Batu Masjid Dan Kubur Melayu

Sumber: Awani, Harian Metro