
‘Bukan Sedekah Sampah’ – Menderma Pakaian Terpakai Juga Ada Adabnya
‘Bukan Sedekah Sampah’ – Menderma Pakaian Terpakai Juga Ada Adabnya.
Rakyat Malaysia sememangnya pemurah dan prihatin dalam menghulurkan bantuan dan atas sebab itu kita masih mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai musibah.
Perkara ini boleh dibuktikan menerusi apabila penduduk di beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Ramai berpusu-pusu masuk ke kawasan bencana untuk menghulurkan bantuan barangan termasuk khidmat membersihkan kawasan rumah. Tidak kurang juga yang memberikan sumbangan pakaian terpakai kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.
Amalan itu sangat dipuji, namun apa yang dikesalkan apabila sebahagian pakaian terpakai yang disumbangkan tidak lagi boleh dipakai.
Ada yang dalam keadaan koyak rabak, lusuh, kotor dan berbau kusam dan boleh dianggap ia hanyalah sampah yang menunggu dibuang.
Ramai sukarelawan banjir mengeluh berhubung perkara itu menerusi beberapa hantaran di Facebook belakangan ini.
“Nak menyumbang pakaian pun, bagi yang cantik, pakaian baru, pakaian yang dalam keadaan sempurna. Bukan bagi pakaian yang patut dimasukkan dalam tong sampah,” luah salah seorang sukarelawan banjir di Facebook.
Menderma pakaian terpakai ada adabnya
Menerusi laman Mufti Wilayah Persekutan yang berjudul ‘Sedekah Barangang Lama Tidak Terpakai’, terdapat dalil berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku”. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia – Riwayat Ibn Majah (3557)
Mari kita hayati adab menderma pakaian yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @nuuraimuni ini.
Jika anda hendak menderma pakaian terpakai, cuba letakkan diri kita di tempat orang yang menerima pakaian kita itu.
Fikir dahulu, kalau kita terima pakaian itu, agak-agak kita suka tak terima dan rasa nak pakai tak. Kalau kita pun tengok rasa tak sanggup nak pakai, begitulah orang yang menerima pakaian tersebut.
Pernah fikir tak bila orang yang terima pakaian itu pada awalnya rasa excited tapi bila try baju koyak, tak boleh butang.
Dapat bayangkan tak apa perasaan mereka? Mungkin kita rasa dah baik hati nak bagi baju free, pandai la jahit sendiri kan? Tapi kita ni menderma ikhlas ke tak?
Jika hendak menderma pakaian, pastikan semua pakaian masih elok, takda lubang sana, lubang sini, butang, cangkuk dan zip masih terletak elok. Basuh terlebih dahulu pakaian tersebut sebersih-bersihnya kemudian lipat dengan kemas.
Kemudian, masukkan dalam plastik transparent. Tujuannya supaya penerima tersebut rasa dihargai, rasa seronok seperti mendapat baju baharu.
Sama ada menderma pakaian terpakai ketika musim banjir atau tidak, tolong jangan jadikan golongan penerima tempat membuang sisa ‘sampah’ kita, dengan cara ‘terhormat’.
Beradablah apabila menderma.
BACA: Rugi Buang Baju Lama Yang Masih Elok, Ini 5 Tempat Anda Boleh Derma
Sumber: Mufti WP, Twitter Nur Aimuni
Trending now



