
Bukan Gelaran Datuk, Rakyat Malaysia Ini Terima Pingat Order Of Australia Atas Jasa Kepada Komuniti Islam
Mungkin ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak begitu mengenali nama ‘Uncle Hashim’, namun di Australia nama itu cukup dikenali di sana.
Pada 26 Januari 2021, Uncle Hashim atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hashim menerima salah satu penghormatan tertinggi Australia, Pingat Order of Australia (OAM) iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan atas pencapaian dan perkhidmatan yang luar biasa.
Uncle Hashim menerima anugerah OAM atas khidmatnya secara sukarela kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia di Canberra selama bertahun-tahun.
Masalah tiada daging halal bangkitkan usaha wujudkan sijil halal di Australia
Selepas tiga tahun berhijrah ke Australia pada 1969, Uncle Hashim mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha menyatukan rakyat negara ini di Canberra.
Hidup di negara perantau yang menjadi masalah utama ialah ketiadaan daging halal. Demi untuk menjaga komuniti Islam di sana, Uncle Hashim bersama beberapa rakan memulakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan untuk mewujudkan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah.
Beliau turut menjadi sukarelawan di hospital sebagai penjaga kepada pesakit Islam yang bermula ketika isterinya menerima rawatan kerana menghidap penyakit kanser.
Beliau juga terbabit dalam penubuhan pelbagai persatuan termasuk Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia semasa zaman mudanya di Universiti Canberra.

Pilih kasih memaksa saya tinggalkan Malaysia
Hampir separuh abad bermastautin di Australia, sesekali Uncle Hashim akan pulang ke Malaysia untuk menziarah keluarga dan rakan-rakan.
Beliau mengakui hatinya tidak pernah ‘meninggalkan’ Malaysia, namun terpaksa mengorbankan kewarganegaraannya sebagai syarat untuk menjadi penjawat awam di Australia.
Begitupun, beliau percaya keputusan berat itu membantunya membawa nama negara dengan lebih baik.
Memetik sumber Free Malaysia Today, beliau mengimbas cerita bagaimana rasa tanggungjawab terhadap keluarga dan sikap pilih kasih dihadapinya memaksanya membuat keputusan meninggalkan negara puluhan tahun lalu.
Sebagai guru di Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim di Kedah pada tahun 1966, Uncle Hashim dipilih daripada hampir 2,000 calon untuk mengikuti program perintis program yang kini dikenali sebagai TV Pendidikan.
Beliau ketika itu merekodkan 20 pengajaran biologi untuk disiarkan kepada pelajar.
“Perjanjian tidak bertulis adalah saya dan seeorang lagi rakan sekerja akan dihantar ke Kanada selama beberapa tahun untuk latihan dan kemudian kami kembali dan menjalankan program ini.
“Kami menunggu dan menunggu, tetapi tidak mendengar apa-apa dari kementerian. Akhirnya, setelah dua tahun, kami mendapat khabar bahawa orang lain telah dihantar ke Kanada, dan dia adalah menantu salah seorang individu penting di kementerian penerangan,” dakwanya.
Kemudian, pada tahun 1972, ketika beliau sudah berada di Canberra, kerajaan menawarkan RM14,000 kepada bapanya untuk mendapatkan sebidang tanah milik keluarga bagi membina jambatan yang turut merangkumi sungai di belakang rumah mereka.
“Di seberang sungai itu sebidang tanah lain, tetapi tanah berkenaan kosong. Kami kemudian mendapat tahu bahawa pemilik plot itu adalah seorang Ahli Parlimen, dan mereka ditawarkan RM70,000.
“Pengalaman ini benar-benar mengecewakan saya dan keluarga, dan meyakinkan saya untuk membuat keputusan berhijrah,” dakwanya.
Sepanjang bergelar penjawat awam di Australia, Hashim melakukan kerja kemasyarakatan, membantu pengebumian orang Islam, mengajar al-Quran dan membantu melobi untuk mendapatkan sijil penyembelihan halal di Australia.
Usaha terkini Uncle Hashim ialah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care, sebuah platform yang menyalurkan bantuan kepada komuniti Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan.
Di sebalik semua yang terjadi dan pencapaiannya di Australia, Uncle Hashim menegaskan beliau tetap akan pulang ke Malaysia.
“Saya tidak fikir mereka benar-benar tahu signifikan anugerah berkenaan, malah ada yang bertanya kepada saya, adakah ia sama seperti gelaran Datuk?” katanya sambil ketawa.
Trending now



