
Budaya ‘Prank’ Suami-Isteri Makin Menjadi, Benarkah Ia Bercanggah Dengan Syarak?
Semata-mata nak menarik perhatian dan cepat jadi viral, penghasilan konten yang merapu di media sosial dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Kalau sebelum ini, pernah tular satu trend di TikTok yang melibatkan pasangan suami isteri beragama Islam seronok menjalankan upacara ‘unboxing’ di malam pertama, kali ini timbul pula trend terbaru memalukan isteri ketika meraikan sambutan hari lahir dan ulangtahun perkahwinan.
Klip video ‘prank’ mengenakan pasangan tersebut kemudiannya dimuat naik ke media sosial untuk dipertontonkan kepada orang ramai semata-mata untuk dijadikan bahan lawak.
Perkara ini ditegur oleh Ustaz Muhammad Fahmi Rusli di laman Facebooknya yang kesal dengan keruntuhan akhlak umat Islam pada hari ini yang dilihat semakin sukar untuk dibendung.
Semoga pendedahan dan teguran dari beliau ini dapat dijadikan peringatan dan muhasabah buat diri kita. Insya-Allah.
Kebelakangan ini, saya banyak melihat video ada perempuan yang datang ke rumah seorang perempuan lain, memberitahu yang suaminya curang/kacau perempuan lain.
Rupa-rupanya perempuan yang datang ini telah bersubahat dengan si suami, untuk ‘prank’ isterinya.
Akhirnya, di hujung video diucaplah “Happy Anniversary”, “Happy Birthday”.
Dari sudut agama, perbuatan ini adalah tidak syar’ie iaitu bercanggahan dengan ajaran syarak. Ya, sekalipun dengan tujuan melawak.
Rasulullah SAW sebut:
لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang muslim menakutkan muslim yang lain.
Riwayat Abu Daud (5004).
Latar belakang hadis tersebut, menceritakan bahawa para sahabat Rasulullah bermusafir bersama baginda pada suatu malam. Tiba-tiba ada dalam kalangan mereka, yang mengambil tali milik seorang lelaki yang turut bersama dalam permusafiran tersebut.
Ketika itu, lelaki tersebut sedang tidur. Tujuan mereka adalah untuk bergurau. Sebaik lelaki itu bangun, dia rasa terkejut dan risau kerana tali miliknya telah hilang.
Maka Rasulullah SAW pun menyebutkan larangan menakutkan seorang muslim seperti yang dikongsikan di atas.
Kadang apabila kita melihat video-video tersebut, jelas terpancar perasaan dukacita, marah yang dipendam, tangan menggeletar geram oleh si isteri.
Namun akhirnya, semua perasaan itu diabai dan dibiar, hanya kerana ini adalah “prank” semata-mata.
Umat Islam yang sudah tahu hukum, jauhilah perbuatan seperti ini.
Sumber & kredit foto: Facebook Muhammad Fahmi Rusli