Break dance Olimpik 2024

‘Break Dance’ Bakal Dipertanding Dalam Acara Sukan Olimpik 2024?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sukan Olimpik ialah sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun. Sukan ini bermula dari Yunani Purba, dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19.

Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia.

Baru merasai kehangatan Sukan Olimpik 2020 yang bakal berlangsung di Tokyo, penganjur Sukan Olimpik 2024 yang akan diadakan di Paris ingin memperkenalkan acara break dance atau tarian jalanan hip-hop dalam temasya itu.

Break dance merupakan sejenis tarian yang dikaitkan dengan muzik hip-hop. Tarian ini popular pada sekitar 1980-an hingga 1990-an apabila muzik hip-hop semakin mendapat tempat di dunia.

Break dance Olimpik 2024
Break dance Olimpik 2024

Selain acara break dance, pihak penganjur juga akan pertandingkan sukan papan selaju, pendakian dan luncur air yang bakal menyaksikan acara tersebut di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tarian hip-hop jalanan ini pernah dipertandingkan pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires yang dikendali oleh Persekutuan Tarian Sukan Dunia (WDF).

Kini, pihak penganjur sedang mencari kawasan yang bersesuaian untuk acara berkenaan di sekitar Paris. 16 atlet akan mewakili pertandingan tarian itu dalam kategori lelaki dan wanita.

“Ini adalah satu langkah besar untuk kami menganjurkan Sukan Olimpik yang unik. Sejak dari awal lagi, sasaran kami ialah untuk menawarkan acara sukan yang mampu memberikan impak dan elemen kejutan,” kata Tony Estanguet, Ketua Jawatankuasa Penganjur Paris 2024.

Cadangan menyenaraikan acara tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Februari lepas dan sedang menunggu keputusan muktamad pada Disember 2020.

Acara tarian ini juga menarik perhatian pihak penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sumber: The Guardian