brazilian wax haram

Brazilian Wax Dengan Aurat Terdedah Adalah Haram – Mufti Wilayah Persekutuan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kulit lincin tanpa bulu roma adalah sesuatu yang penting bagi golongan wanita. Menggunakan alat pencukur atau krim biasa pula perlu dilakukan kerap kerana kesannya tidak lama.

Sejajar dengan teknologi moden, proses membuangkan bulu yang tidak perlu semakin mudah. Antara rawatan popular yang digunakan terutama bagi golongan selebriti ialah rawatan salutan lilin Brazilian atau lebih dikenali sebagai Brazilian wax.

Brazilian wax telah diperkenalkan di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1987 dan terus popular sebagai cara utama wanita di sana untuk mendapatkan kulit yang licin tanpa bulu ari-ari di bahagian sulit mereka. Ia mampu bertahan dari 3 hingga ke 6 minggu berbanding dengan penggunaan pencukur yang hanya mampu bertahan sehingga 2 minggu sahaja.

Namun, adakah rawatan ini berteraskan hukum Islam?

Menerusi portal Harian Metro, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan Brazilian wax dengan cara aurat terdedah khususnya membabitkan pembuangan bulu ari-ari dan dilihat orang lain adalah haram.

“Adapun Brazilian wax yang membabitkan pembuangan bulu di betis, lengan atau dada, maka ia adalah harus sekiranya yang melakukannya adalah staf sama jantina,” katanya.

brazilian wax haram

Dr Zulkifli berkata, melihat kepada suasana masa kini, proses Brazilian wax ini menjadi suatu perkhidmatan yang dikenakan bayaran kepada mereka yang ingin melakukannya.

Justeru katanya, secara tidak langsung ia membabitkan dua pihak atau dua individu iaitu pelanggan dan staf yang menjalankan proses berkenaan.

Menurutnya, persoalan Brazilian wax dengan tujuan membuang bulu ari-ari membabitkan dua isu, iaitu aurat dan khalwat.

Katanya, haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, begitu juga ada larangan bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan lain.

“Sekiranya staf adalah seorang lelaki dan pelanggannya lelaki atau stafnya perempuan dan pelanggannya perempuan, maka sudah pasti akan berlakunya pendedahan aurat dan ini adalah dilarang.

“Maka, lebih utama akan pengharaman hal ini apabila proses berkenaan membabitkan staf dan pelanggan yang berlainan jantina.

“Tambahan pula sekiranya ia dilakukan di dalam bilik khas yang hanya menempatkan staf dan pelanggannya secara berdua. Hal ini adalah perkara yang dilarang di sisi syarak.”

brazilian wax haram

Jadi, perbuatan mencabut bulu ari-ari adalah harus jika ia mendatangkan masalah. Tetapi mendedah aurat untuk dilihat orang lain tanpa keperluan yang mendesak dan munasabah hukumnya adalah haram.

Sumber: Harian Metro