
Boikot Dengan Berilmu, Ini Cara Yang Lebih Efektif Beri Tekanan Kepada Produk Berkaitan Israel
Apabila berlakunya isu serangan Israel terhadap penduduk Palestin, isu boikot sebarang produk terkenal seperti McDonald’s, Starbucks dan Coca-Cola pastinya akan muncul kembali.
Dan setiap kali isu ini timbul, syarikat-syarikat yang terkena tempias sekali lagi perlu mengeluarkan kenyataan penafian.
Seperti yang berlaku baru-baru ini, seorang aktivitis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam satu video tular bertindak menjalankan kempen boikot terhadap produk Coca-Cola dengan memasuki kedai runcit, mengeluarkan semua tin Coca-Cola dari peti sejuk, dan menurunkan bahan pemasaran yang kemudiannya dipijak di luar kedai.
Memberi maklum balas terhadap tindakan PPIM, pengeluar minuman Coca-Cola menjelaskan semua produknya dibuat di Malaysia “oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia”, dan pihak pertama yang akan terkesan dengan boikot adalah pekerja tempatan.
Katanya berhubung isu Israel-Palestin, Coca-Cola kekal neutral terhadap isu keagamaan di seluruh dunia yang mana mereka tidak menyokong atau menentang sebarang perjuangan bermotifkan keagamaan atau memihak kepada mana-mana negara.
Malahan, produk Coca-Cola sudah dijual di pasaran Palestin sejak 1998, dan ia kini majikan ketiga terbesar di rantau tersebut.
Atas sebab faktor jarak dan politik dunia, antara tanda kita memberi sokongan sesuatu pihak dengan menderma, mendoakan mereka dan melancarkan kempen boikot kepada pihak yang ditentang.
Adakah boikot memberi kesan langsung kepada ekonomi terutamanya bagi produk yang menyokong Israel?
Sebelum memboikot, kita perlu tahu apa yang perlu diboikot dan berfikir sama ada tindakan itu memberi kesan terhadap reaksi yang kita mahukan (menjatuhkan kerajaan Israel).
Kita juga perlu selidik siapa tuan punya syarikat tersebut dan pastikan sama ada ia dimiliki atau mempunyai kaitan secara langsung dengan pihak Zionis.
Boikot ini perlu berfokus untuk tempoh tertentu dan memang usaha ini memberi kesan langsung jika dilaksanakan secara tertib dan sistematik.
Boikot bersasar didapati dapat memberi kesan langsung kepada produk tertentu yang berkaitan langsung dengan Israel atau membantu Israel.
Kita boleh mengikuti badan utama yang memimpin usaha boikot yang dikenali sebagai BDS iaitu Boycott, Divest, Sanction – sebuah gerakan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan yang dipimpin oleh Palestin.
Badan ini menegaskan prinsip sederhana bahawa rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama dengan manusia lain.
Difahamkan, BDS banyak memberi kesan dan ia juga telah disokong oleh ahli akademik, selebriti dunia dan beberapa lapisan masyarakat lain.
Perlu faham bahawa tujuan memboikot untuk mempengaruhi peruncit di seluruh dunia agar berhenti menjual produk dari syarikat yang mendapat keuntungan dari Israel.
Produk dan syarikat apa yang perlu diboikot?
BDS Malaysia telah menyenaraikan produk yang digariskan oleh BDS Global Movement untuk tujuan memboikot:
1. Hewlett Packard (HP)
2. PUMA
BACA: Taja Persatuan Bola Sepak Israel, Jenama Puma Diboikot 20 Buah Negara
3. G4S (Syarikat keselamatan kewangan yang digunakan secara meluas di Malaysia)
4. US Caterpillar (diedarkan oleh Sime Darby Industrial)
5. Industri Berat Hyundai
6. Ahava (Produk kosmetik Israel yang turut dijual di Lazada dan Shoppee)
7. Produk AXA
8. Airbnb

Boleh ke laman BDS Malaysia untuk memahami kempen boikot dengan lebih lanjut.