BMF Cadang Tukar Logo Halal Malaysia Kepada Tiga Warna

Logo Halal Tiga Warna

Sebuah kempen sedang dijalankan menerusi kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) yang mahu supaya kerajaan terutama agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menukar logo Halal kepada tiga jenis warna iaitu hijau, jingga dan ungu.

Menerusi kempen tersebut, warna hijau dicadangkan untuk perusahaan yang dimiliki 100 peratus oleh Muslim, jingga untuk perusahaan milikan bersama Muslim dan bukan Muslim, sementara ungu untuk perusahaan milikan penuh bukan Muslim.

Memetik kenyataan BMF Media TV di Facebook, kempen tersebut dibuat atas faktor-faktor berikut:

Logo Halal Tiga Warna
Sumber: FB

“Kita tidak mahu orang Islam keliru akan produk muslim itu sendiri. Sebab sekarang ini sangat ramai TAIKUN bukan islam menggunakan LOGO HALAL bagi mengelirukan pengguna muslim itu sendiri.

“Terbaru salah satu Payment gateway yang menggunkan nama Muslim semata-mata untuk menarik peniaga online menggunakan Payment Gateway mereka. Kami akan dedakan perkara ini dalam masa terdekat,” tulis kenyataan tersebut.

Kempen mahu menukar logo halal sedia ada ini bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi netizen. Ada yang menyokong kempen ini dengan mencadangkan penambahbaikan terhadap logo halal yang diuar-uarkan dan ada juga yang mempersoalkan keperluannya sedangkan logo Halal kini adalah logo yang diiktiraf di seluruh dunia.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan mengatakan cadangan mengkategorikan ‘tahap halal’ akan merosakkan imej Malaysia sebagai hab halal, malahan menjadikan Malaysia satu bahan gurauan di dunia.

“Hakikatnya, persijilan halal adalah perakuan ke atas satu-satu produk dan bukannya ke atas perusahaan yang mengeluarkan produk itu.

“Justeru, menggunakan tiga warna untuk mengkategorikan latar belakang perusahaan adalah tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Sinchew Daily.

Beliau berharap kerajaan dapat mengambil berat dan menyekat kempen mengkategorikan lambang halal itu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Tambahnya, lambang dan warna lambang halal sedia ada telah diterima dan diperakui orang tidak kira di dalam atau luar negara dan tidak perlu menokok tambah sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan.

Apa pandangan anda terhadap kempen ini? Adakah wajar dikategorikan kepada tiga warna?

KEMPEN TUKAR LOGO HALAL MALAYSIA…Kenapa perkaara ini PERLU dilakukan.- sebab selama ni org islam tertipu akan…

Posted by BMF MEDIA TV – official on Wednesday, July 22, 2020