Apa Salah Babi? Ini 5 Cara Kenal Pasti Daging Yang Haram Dimakan Bagi Muslim

Cara Kenal Pasti Daging Babi
Sumber: One Green Planet

5 Cara Kenal Pasti Daging Babi Yang Haram Dimakan Bagi Muslim

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai sebuah restoran popular dikatakan menggunakan daging babi dalam hidangan mi kari mereka.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan pengurus restoran dan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) turut menjelaskan tentang pengesahan halal di restoran terbabit.

BACA: Oldtown Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Atas Dakwaan Hidang Menu Mi Kari Babi

Dalam Islam, babi dikategorikan sebagai salah satu daripada najis mughallazah (najis berat). Saintis juga membuktikan bahawa daging babi tidak sesuai untuk dimakan atas beberapa faktor.

Kebanyakan kajian mengaitkannya dengan kecenderungan untuk mendapat jangkitan parasit, khususnya helminthes (cacing) seperti cacing bulat, cacing peniti dan lain-lain.

Paling bahaya, Taenia Solium atau cacing pita, di mana ia boleh membesar dan memancang di dalam usus manusia. Ovum atau telurnya mampu memasuki dalam saluran darah dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit kronik atau kematian.

Pertuduhan sesebuah premis makanan yang telah mendapatkan sijil pengesahan halal dari JAKIM secara tiba-tiba diketahui menggunakan daging babi dalam hidangan mereka sering dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Lagi parah, mereka yang menuduh itu tidak pernah melihat mahupun rasa isi daging babi tetapi terus membuat andaian sebegitu.

Daripada diri sendiri keliru, kami kongsikan cara mengenal pasti daging babi untuk elak tertukar dengan daging lembu, kerbau atau ayam.

5 cara kenal pasti daging babi

Cara Kenal Pasti Daging Babi

1. Tekstur

Daging babi mepunyai tekstur yang lembik dan mudah diregangkan berbanding daging lembu mempunyai tekstur yang lebih kaku dan padat.

Melalui perbezaan ini sebenarnya ketika memegangnya pun sudah terasa perbezaan yang nyata antara keduanya kerana dapat dirasakan daging babi lebih kenyal dan mudah direnggangkan.

Sementara daging lembu terasa padat dan keras sehingga cukup sukar untuk diregangkan.

2. Aroma

Terdapat sedikit perbezaan antara keduanya. Daging babi mempunyai aroma khas tersendiri yang dikatakan meloyakan tekak, sementara aroma daging lembu adalah hanyir seperti yang telah kita ketahui.

Dari segi bau inilah sebenarnya perkara paling penting untuk membezakan antara kedua-dua daging kerana walaupun warna telah ditukar dan dicampur antara keduanya, namun aroma kedua-dua daging ini masih boleh dibezakan.

Namun, kemampuan untuk membezakan melalui aromanya ini memerlukan latihan yang berulang-ulang kerana memang perbezaannya tidak terlalu ketara.

3. Warna

Jika dilihat, daging babi mempunyai warna yang lebih pucat dari daging lembu. Warna daging babi seolah-olah seperti warna daging ayam iaitu merah pucat.

Namun perbezaan ini tak dapat dijadikan pegangan, kerana warna pada daging babi biasanya disalut dan disebatikan dengan pelumuran darah lembu, walau sebatian ini boleh dihilangkan dengan merendam di dalam air.

Selain itu, di bahagian tertentu pada daging babi, warnanya mirip sekali dengan daging lembu sehingga sangat sukar membezakannya.

4. Serat daging

Di sini terdapat perbezaan jelas antara kedua-dua daging. Pada daging lembu, serat-serat daging kelihatan padat dan garis-garis seratnya kelihatan jelas.

Manakala pada daging babi, serat-seratnya kelihatan samar dan sangat renggang. Perbezaan ini semakin jelas ketika kedua-dua daging direnggangkan bersama.

5. Lemak

Perbezaan terdapat pada peringkat keanjalannya. Daging babi mempunyai tekstur lemak yang lebih elastik sementara lemak lembu lebih kaku dan berbentuk.

Selain itu, lemak daging babi sangat basah dan sukar dilepaskan dari dagingnya sementara lemak daging lembu agak kering dan kelihatan berserat.

Daging babi mempunyai banyak lemak, jadi stoknya akan lebih berminyak dan lebih tebal daripada daging lembu. Namun kita harus berhati-hati pula bahawa pada bahagian tertentu seperti buah pinggang, lemak babi kelihatan hampir serupa dengan lemak lembu.

Bagaimanapun, jika kedua-dua jenis daging tersebut telah dicampurkan, apatah lagi setelah disebatikan dengan darah lembu, kedua-duanya menjadi sangat sukar untuk dibezakan.

Apa pun, jika musykil dengan makanan di restoran terbabit, ajukanlah di saluran yang betul untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti fitnah.

Sumber: Babab