Dirai Kaum Lelaki Di China, Ini Kisah Di Sebalik ‘Singles’ Day’ Yang Disambut Setiap 11 November

Kisah Singles' Day 11 November China

Kisah Di Sebalik ‘Singles’ Day’ Yang Disambut Setiap 11 November.

Sejak laman e-dagang mula dikenali ramai dan menjadi medan membeli-belah dalam talian, tarikh 11 November atau 11.11 menjadi tarikh yang diingati sebagai hari berbelanja dengan harga promosi.

Namun, tahukah anda 11 November juga merupakan tarikh khas untuk meraikan orang-orang bujang atau tidak mempunyai pasangan.

Kisah di sebalik Singles’ Day

Mengapa Singles’ Day diraikan pada 11 November? Ada beberapa versi yang mengisahkan asal-usul tarikh ini sebagai Hari Bujang.

Antara versi yang popular adalah yang mana ia diraikan oleh pelajar universiti di China yang tidak mempunyai kekasih.

Singles’ Day disana turut dikenali sebagai Guanggun Jie pada sekitar 1993 lalu sebagai kesinambungan kepada Hari Kekasih pada 14 Februari. Tarikh 11.11 dipilih kerana angka ‘1’ diibaratkan sebagai individu yang bersendirian.

Pada awalnya, Singles’ Day hanya diraikan oleh kaum lelaki di China tetapi kini ia juga disambut oleh kaum wanita. Malah, beberapa universiti di negara China juga mempunyai sambutan khas untuk meraikan 11 November ini dan ia telah disambut meriah dikebanyakkan negara seluruh dunia.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan sambutan di Korea yang mana tarikh 11.11 dikenali sebagai Pepero Day untuk mereka bertukar-tukar stik pepero yang dihiasi dengan patung beruang atau bunga dengan harapan mereka akan tinggi dan kurus seperti angka 1.

Singles’ Day hari membeli-belah sedunia

Kisah Singles' Day 11 November China

Ia bermula apabila syarikat e-dagang gergasi Alibaba buat pertama kalinya pada tahun 2009 mula memilih tarikh ini sebagai hari untuk mengadakan promosi besar-besaran serta peluang buat mereka yang bujang untuk menghadiahkan diri mereka dengan barangan yang diingini beserta harga promosi.

Sejak itu, Singles’ Day telah menjadi hari membeli-belah yang amat popular hingga ke hari ini dan seperti di Malaysia juga turut memilih tarikh ini untuk membeli barangan pilihan pada harga promosi.

Berdasarkan rekod, Alibaba berjaya mencatat angka jualan sebanyak kira-kira USD 38.4 bilion (bersamaan anggaran RM1.8 bilion) dalam masa sehari bersempena sambutan Singles’ Day pada 2019.

Justeru, Singles’ Day bukan sahaja disambut oleh mereka yang bujang malah mereka yang mempunyai pasangan mahupun berkeluarga meraikan tarikh ini untuk mendapatkan pelbagai barangan pilihan pada harga runtuh.

Sumber: In The Black