Dapat Peruntukan Hingga RM85.5 Juta Dalam Belanjawan 2021, Apa Sebenarnya Peranan JASA?

Banyak perkara menarik yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu. Antara yang sehingga ke hari ini masih lagi menjadi sebutan ialah peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) meliputi peruntukan RM81.5 juta di bawah dasar baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi. Namun sebenarnya masih ada yang tak tahu mengenai peranan JASA.

BACA: Pembangkang Bakal Tolak Belanjawan 2021

 

Dapat Peruntukan Hingga RM85.5 Juta Dalam Belanjawan 2021, Ini Sejarah Pembentukan Dan Pembentukan JASA

Peruntukan ini menjadi kontroversi bukan sahaja dibantah pihak pembangkang tetapi juga daripada pihak Barisan Nasional (BN) sendiri kerana jumlahnya jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan semasa di bawah kerajaan BN iaitu sebanyak RM30 juta.

Malah Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri mendakwa terkejut dengan jumlah peruntukan tersebut telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohamed Mantik untuk menyiasat.

Sedangkan Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin dikatakan sudah mengakui sebagai individu bertanggungjawab untuk mencadangkan agensi itu dihidupkan semula.

Sejarah JASA

JASA bermula sebagai Badan Hal Ehwal Khas (BHEK), iaitu sebuah unit yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Tanah Melayu 1959 di bawah Kementerian Penerangan bagi mengekalkan dan melindungi kestabilan agama, politik dan kerajaan.

Pada tahun 1960, BHEK kemudiannya dinaikkan dan diganti menjadi Cawangan Hal Ehwal Khas (CHEK) di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Pada Mac 2000, pembentukan Jabatan Hal Ehwal Khas yang pada awalnya disingkatkan menjadi JHEK sebelum ditukar kepada JASA pada tahun 2004 telah diluluskan dalam satu mesyuarat kabinet kerajaan.

Peranan JASA

Pada awalnya JASA dibentuk bagi menerangkan inisiatif dan program pemerintah sebelum perlahan-lahan dilihat menyimpang dan berubah menjadi jentera propaganda politik kerajaan untuk menyerang pembangkang. Atau dalam bahasa mudahnya cybertropper.

BACA: Tentera Siber Dibayar Tunai RM100,000 Sebulan Untuk Jaga Publisiti Rosmah Mansor

Kontroversi

Fungsi JASA kemudiannya dipersoal dan didakwa sebagai satu agensi kerajaan yang tidak cekap biarpun dianggotai oleh 1,046 kakitangan dan menelan belanja besar hingga RM74 juta.

Dapat Peruntukan Hingga RM85.5 Juta Dalam Belanjawan 2021, Ini Sejarah Pembentukan Dan Pembentukan JASA 1
Puad Zarkashi

Pada ketika itu, gaji Puad Zarkashi sebagai Ketua Pengarah (2015-2018) sebanyak RM20,592 sebulan juga dipersoalkan kerana jauh lebih tinggi daripada gaji menteri pada ketika itu – RM14,907.20 sebulan.

Kejatuhan dan Pembubaran JASA

Pada tahun 2018, Malaysia mencatatkan sejarah apabila kerajaan BN yang sudah memerintah lebih 60 tahun dijatuhkan semasa PRU14 yang mengangkat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tun Mahathir kemudiannya mengumumkan bahawa JASA dan beberapa agensi dan jabatan kerajaan akan dihapuskan kerana terlalu banyak unsur politik. Pembubaran sepenuhnya dibuat pada 15 Oktober 2018 dengan 300 orang daripada kakitangannya diserap ke jabatan dan kementerian lain dan kakitangan kontrak berunsurkan politik ditamatkan.

Cubaan Penubuhan Semula

Di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang termasuk BN pada 2020, JASA cuba dihidupkan semula dalam Belanjawan 2021 yang mana disifatkan bekas Panel pemikir JASA daripada BN, Datuk Lokman Noor Adam bakal menjadi alat propaganda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk ‘menekan UMNO dan BN.

Walau bagaimanapun, ianya dinafikan Ahli majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang menegaskan JASA di bawah kerajaan PN begitu signifikan dan fleksibel sehingga  melangkaui skop propaganda politik, iaitu memberi penerangan dan maklumat kepada rakyat bawahan dan membendung penularan propaganda anasir luar.