Bangladesh Tubuh Sekolah Agama Pertama Untuk Transgender Muslim

Sekolah Agama Bangladesh Transgender Muslim

Bangladesh Tubuh Sekolah Agama Pertama Untuk Transgender Muslim

Sebagai langkah untuk mengintegrasikan minoriti yang ditindas (merujuk kepada golongan transgender) kembali bersatu bersama masyarakat, Bangladesh telah menubuhkan sekolah agama pertama kepada golongan tersebut yang beragama Islam.

Sekolah agama itu adalah antara rangkaian gerakan terbaru di Bangladesh untuk memudahkan kehidupan hampir 1.5 juta orang transgender di negara majoriti Islam itu.

Komuniti LGBT berdepan diskriminasi meluas di negara Asia Selatan, yang mana undang-undang era kolonial masih mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang berkelakuan homoseksual walaupun penguatkuasaan itu dilihat jarang berlaku.

Kira-kira seramai 50 pelajar transgender dilihat membaca ayat-ayat al-Quran untuk menandakan pembukaan Dawatul Islam Tritio Linger Madrasa atau Islamic Gender School, di pinggir ibu kota.

Seorang pelajar berusia 33 tahun, Shakila Akhter, berkata beliau gembira dan berterima kasih kepada ulama kerana melakukan perubahan itu.

Akhter dilahirkan sebagai perempuan yang bercita-cita menjadi doktor atau peguam, namun cita-citanya terkubur apabila terpaksa meninggalkan rumah ketika usia kanak-kanak kerana mahu menyertai komuniti transgender.

Kata Akhter, walaupun mereka beragama Islam, namun mereka ditindas hingga tidak boleh pergi ke masjid. Malah, tidak boleh bergaul dengan masyarakat yang lain kerana identiti mereka.

Sekumpulan ulama yang dipimpin oleh Abdur Rahman Azad mengubah suai tingkat atas sebuah bangunan 3 tingkat menjadi sekolah dengan dana daripada badan kebajikan tempatan.

Kumpulan Azad, yang mengajar al-Quran kepada tujuh kumpulan transgender di Dhaka, berkata sekolah agama semakin berkembang dan menjadi tapak asas bagi integrasi masyarakat.

Kira-kira 150 pelajar yang mana hampir semua dewasa akan menggunakan silibus sama diguna pakai di madrasah tradisional, di mana al-Quran diajar bersama falsafah Islam, Bengali, Inggeris, ilmu matematik dan sains sosial.

Golongan transgender di Bangladesh dikenali sebagai Hijra (penghijrah) terlalu banyak berdepan penderitaan.

Sekolah Agama Bangladesh Transgender Muslim
Sumber: AFP

“Sudah terlalu lama mereka menjalani kehidupan yang menyedihkan. Mereka tidak boleh pergi ke sekolah, madrasah atau masjid. Mereka menjadi mangsa diskriminasi. Kita, masyarakat dan negara perlu dipersalahkan untuk ini.

“Kita mahu menamatkan diskriminasi ini. Allah tidak membeza-bezakan antara manusia. Islam melayan setiap orang sebagai manusia. Hijra perlu menikmati semua hak yang sama seperti manusia lain,” kata Azad.

Sejak 2012, kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mengiktiraf golongan transgender sebagai jantina yang lain.

Tahun lalu, golongan transgender dibenarkan mendaftar untuk memilih sebagai jantina ketiga, dan jumlah mereka akan dikira dalam bancian bermula tahun depan.

BACA: Arab Saudi Menuju Modernisasi, Buka Kafe Mesra-Anjing Pertama

Sumber: FMT