Jurutera Malaysia Ini Terima Pengiktirafan NASA Atas Rekaan Tandas Untuk Angkasawan

Malaysia Pemenang Rekaan Tandas Angkasa NASA
Sumber: FMT

Jurutera Malaysia Ini Terima Pengiktirafan NASA Atas Rekaan Tandas Untuk Angkasawan

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengadakan pertandingan mencipta tandas bagi merealisasikan misi Artemis yang akan ke bulan pada 2024.

Pertandingan yang dikenali sebagai NASA’s Lunar Loo Challenge itu dibuka penyertaannya kepada semua masyarakat di seluruh dunia untuk menghantar rekaan konsep tandas kompak untuk angkasawan mereka.

Pertandingan ini diwujudkan kerana kegunaan tandas sama pentingnya dengan keperluan makan dan minum harian angkasawan apabila mereka berada di ruang angkasa.

Sememangnya bukan satu tugas mudah untuk mencipta tandas dalam kawasan tanpa tarikan graviti dan ia memerlukan kepakaran serta ketelitian si pereka.

Angkasawan Artemis NASA akan makan dan minum serta membuang air dalam keadaan mikrograviti dan graviti bulan. Walaupun sudah ada tandas di ISS, tapi alat tersebut kurang praktikal untuk ke bulan.

Cabaran tersebut telah ditutup pada 25 Jun lepas dan NASA telah menerima lebih 2000 penyertaan dari seluruh dunia. Rekaan jurutera dari Malaysia ini telah menerima hadiah honourable mention daripada pihak NASA.

Jurutera yang dikenali sebagai Kevin Lim Chin Seong berkata beliau sudahpun mempunyai idea rekaan setelah membaca mengenai syarat-syarat penyertaan pertandingan tersebut, kongsinya dalam temuramahnya bersama FMT.

Beliau hanya mengambil masa selama dua bulan untuk menulis, mengira dan mencipta idea yang boleh berfungsi dengan mudah.

Dalam tempoh tersebut, beliau perlu melalui beberapa peringkat pengiraan bagi rekaannya sebelum merealisasikan menggunakan software Computer-Aided Design (Auto-CAD) bagi melihat sama ada ia boleh berfungsi pada tahap terbaik.

“Saya ingin memastikan rekaannya mudah untuk digunakan oleh angkasawan di angkasa lepas kelak,” katanya yang bersyukur dengan pengiktirafan oleh NASA.

Malaysia Pemenang Rekaan Tandas Angkasa NASA
Sumber: FMT

Tambahnya, pengalaman mereka bentuk tandas ini telah memberikannya inspirasi untuk perancangan kerjayanya dalam sektor R&D.

Menerusi pertandingan itu juga, NASA mewujudkan kategori Junior bagi peserta yang berumur bawah 18 tahun.

Untuk kategori ini, rakyat Malaysia bernama Zyson Kang Zy Sun (Pei Yong Tan) berumur 9 tahun yang berasal dari Shah Alam, Selangor telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama NASA’s Lunar Loo Challenge bagi penyertaan umur di bawah 11 tahun.

Malaysia Pemenang Rekaan Tandas Angkasa NASA
Sumber: Wiser

Rekaan tandas Zyson Kang Zy Sun yang dinamakan sebagai Spacesuit Lunar Toilet telah dipilih NASA sebagai rekaan tandas terbaik dengan menewaskan hampir 900 peserta lain dari 85 buah negara.

Malaysia mungkin sebuah negara kecil tetapi rakyatnya sering mengharumkan nama Malaysia dengan bakat luar biasa mereka.

Sumber: FMT, Wiser