3 Syarikat Yang Dahulunya Gah Namun Tersungkur Kerana Terlepas Peluang

3 Syarikat Yang Dahulunya Gah Namun Tersungkur Kerana Terlepas Peluang

Dunia perniagaan tidak menjanjikan mimpi yang manis atau akan berjaya selama-lamanya. Tetapi, jika sentiasa peka dengan trend tidak mustahil perniagaan yang diusahakan akan terus kekal bertahan sehingga berpuluh tahun.

Dalam perniagaan, jika kita membuat keputusan yang salah atau tersilap langkah, akan membawa kerugian besar.

Berikut ada beberapa kisah syarikat yang pernah gah suatu ketika dahulu dalam bidang masing-masing namun tersungkur kerana gagal mengambil peluang yang mungkin jika mereka tidak tersilap langkah, akan menjadi jenama terbesar dunia pada hari ini.

1. Excite – Di tawar Google tapi menolaknya

Syarikat Blockbuster, Excite, Kodak Tersungkur

Excite ditubuhkan pada tahun 1995 untuk menjadi portal informasi untuk semua isu seperti cuaca, berita dan informasi termasuklah enjin carian. Ketika itu, Excite menjadi enjin carian kedua terbesar selepas Yahoo.

Enjin carian Google pula ketika itu tidak terkenal lagi kerana ia masih merupakan enjin carian yang agak baru berbanding dua jenama di atas. Sergey Brin dan Larry Page (kini CEO Google) cuba menjual idea dan sistem mereka kepada Excite dengan harga $750 ribu.

Namun, bagi George Bell (CEO Excite), perjanjian itu hanya 1 peratus daripada nilai Excite dan dianggap tidak berbaloi. Malah, George menganggap idea sistem carian itu tidak berpotensi kerana Sergey dan Larry ketika itu hanyalah budak mentah dalam perniagaan.

Excite meneruskan perkhidmatan enjin carian mereka, namun mengalami kemerosotan teruk dan terpaksa dibeli oleh syarikat lain pada 2004.

Google mempunyai nilai sebanyak $1 trilion, lebih daripada 200 kali nilai yang pada mulanya ditawarkan kepada Excite.

2. Kodak – mati dibunuh kamera digital

Syarikat Blockbuster, Excite, Kodak Tersungkur

Bagi generasi X dan Y, jenama Kodak mungkin benda yang tidak asing bagi mereka. Kodak merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan kamera dan filem yang paling lama bertahan dalam industri fotografi dan menakluk dunia lebih daripada seabad dengan produk mereka.

Pada dekad 1990-an, banyak syarikat mula berlumba-lumba untuk menghasilkan kamera digital untuk dijual di pasaran. Kodak juga tidak terkecuali dengan pengenalan pertama kamera digital untuk pasaran pada tahun 1995 dengan nama DC 40.

Kodak jugalah yang merupakan pencipta kamera digital pertama pada tahun 1976 oleh seorang jurutera muda yang bernama Steven Sasson dan dipatenkan. Cumanya, Kodak tidak kembangkan kamera digital mereka kerana takut jualan kamera digital mengganggu jualan filem mereka yang sangat menguntungkan.

Syarikat Blockbuster, Excite, Kodak Tersungkur

Berbeza dengan pesaing Kodak seperti Canon, Sony, Nikon dan Fujifilm – mereka berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk membangunkan kamera digital kerana mereka melihat potensi kamera digital akan mendominasi pasaran pada masa akan datang.

Dek kerana terlalu dibayangi oleh model perniagaanya yang lama dan masih tidak dapat menerima era digital, Kodak menemui jalan buntu dan tidak dapat bersaing dengan syarikat lain dalam bidang fotografi.

3. Blockbuster – menolak Netflix

Syarikat Blockbuster, Excite, Kodak Tersungkur

Blockbuster merupakan syarikat runcit yang bergerak di sektor hiburan dan menjalankan perniagaan sewaan kaset video untuk pelanggan.

Pada penghujung abad ke-20, syarikat ini mula meraih populariti dan berjaya menembusi pasaran dunia. Kaset-kaset video ini memberikan platform kepada para penonton untuk menonton filem-filem yang diminati di rumah mereka tanpa perlu ke panggung wayang.

Apabila masuk ke abad baharu, internet mula popular dan digunakan dalam kalangan masyarakat. Pengenalan teknologi 3G telah membolehkan penstriman video melalui internet di mana-mana sahaja.

Ketika itu, Netflix baru sahaja memulakan pendakiannya menjadi laman penstriman.
CEO Netflix, Reed Hastings bertemu dengan Blockbuster untuk menawarkan kepada Blockbuster agar membeli syarikat Netflix.

Pada masa itu, Blockbuster tidak dapat memahami bagaimana Hastings boleh menambah sebarang nilai kepada perusahaan mereka yang berjaya; menurut Forbes, Hastings “tertawa keluar dari bilik.”

Namun, Blockbuster tidak mahu berinovasi dan mengambil manfaat teknologi ini. Akibatnya, Blockbuster mula kehilangan pelanggan mereka yang berubah selera dengan perkhidmatan penstriman.

Pada 2010, Blockbuster terpaksa memfailkan bankrap dengan mempunyai hutang lebih 1 billion dollar. Suatu ketika dahulu, syarikat ini mempunyai lebih 9000 kedai penyewaan video. Kini hanya satu sahaja kedai Blockbuster yang tinggal.

Sumber: Ajar, Iluminasi, Majalah Labur