Kisah Lelaki Yang Berjaya Jadikan Kentut Sebagai Kerjaya

Siapa sangka, ‘gas beracun’ yang dikeluarkan dari tubuh badan manusia yang lebih mesra dipanggil kentut boleh digunakan sebagai kerjaya yang menjana pendapatan?

BACA: Bau Macam Kentut, Uranus Planet Paling Busuk Dalam Sistem Suria

Ini kisah lelaki yang berjaya jadikan kentut sebagai satu kerjaya.

Dilahirkan pada 1 Jun 1857 di Marseille, Perancis, Joseph Pujol mempunyai kemahiran luar biasa iaitu mampu mengawal otot duburnya.

Kemahiran ini disedari beliau mandi laut semasa bergelar kanak-kanak. Semasa menyelam, Joseph merasakan ada air yang masuk menerusi duburnya. Panik dengan keadaan tersebut, Joseph naik ke pantai dan mengeluarkan semula air tersebut menerusi duburnya semula.

Beliau kemudian dibawa ayahnya berjumpa dengan doktor bagi mengesahkan apa yang berlaku dan doktor mengatakan ianya adalah normal.

Sejak dari situ, Joseph mula bereksperimen dengannya secara senyap-senyap.

Kisah Lelaki Yang Jadikan Kentut Sebagai Kerjaya 1

Usaha demi usaha dilakukan sehinggalah Joseph berjaya mengawal kelajuan dan bunyi yang dihasilkan daripada duburnya termasuklah meniru muzik yang beliau dengar!

Semasa bertugas sebagai tentera, barulah Joseph secara terbukamenunjukkan kemahirannya sebagai hiburan. Ada ketika beliau akan menyedut air menggunakan duburnya dan menembak semula ke udara pada kelajuan tinggi dengan disaksikan oleh rakan-rakannya.

Pada ketika inilah Joseph menerima gelaran Le Petomane; Bahasa Inggeris fartomaniac yang membawa maksud individu yang suka kentut.

Kisah Lelaki Yang Jadikan Kentut Sebagai Kerjaya 2

Selesai latihan ketenteraan. Joseph bekerja di sebuah kedai roti dan menghiburkan pelanggan dengan  menggunakan muzik yang dimainkan dari duburnya.

Melihat ramai yang terhibur, Joseph kemudiannya mendapat saranan dan galakan daripada rakan-rakannya untuk membawa kemahiran luar biasanya ke pentas.

Pada tahun 1887 semasa berusia 30 tahun, Joseph melakukan persembahannya yang pertama dan sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga membawa beliau ke seluruh Perancis untuk mengadakan persembahan.

Berada di Paris membuka lebih banyak peluang untuk karier Joseph dan akhirnya beliau dipilih untuk menyertai pasukan teater Moulin Rouge pada 1892.

Kisah Lelaki Yang Jadikan Kentut Sebagai Kerjaya

Di sinilah, pelbagai lagi bunyian yang beliau keluarkan. Bermula daripada bunyi guruh berdentum sehinggalah lagu melalui okarina yang disambungkan dengan getah, beliau juga melakukan persembahan memadamkan api dari jarak jauh semata untuk menghiburkan orang ramai.

Dua tahun berada bersama Moulin Rouge, Joseph didenda kerana mengadakan persembahan amal tanpa mendapat kelulusan pihak Moulin Rouge membawa kepada karier solo beliau bersama kumpulan yang dibangunkan sendiri iaitu Theatre Pompadour.

Berbelas tahun menghiburkan masyarakat dengan nama Le Petomane, karier beliau mula malap apabila kebanyakan daripada ahli kumpulannya dikerah untuk menyertai perang pertama.

Kembali ke kampung halaman, Joseph kemudiannya membuka sebuah kilang biskut bersama keluarga. Sejak dari itu, kemahirannya tidak lagi ditayangkan kepada umum, sebaliknya hanya untuk tontonan dan hiburan keluarga sahaja.

Meninggal dunia pada tahun 1945, sebuah sekolah perubatan telah menawarkan sejumlah wang untuk mereka melakukan bedah siasat terhadap mayat Joseph bagi mengetahui dan mempelajari keunikan otot duburnya.

Namun, tawaran tersebut ditolak anak-anak Joseph yang merasakan biarkan kemahiran bapanya itu kekal menjadi rahsia.