Dijangka Berlaku 31 Oktober Ini, Apa Sebenarnya Fenomena Blue Moon?

31 Oktober 2020 menjadi satu tarikh yang ditunggu-tunggu selepas dilaporkan pada hari tersebut fenomena blue moon atau bulan biru akan berlaku.

Fenomena bulan biru bukanlah menunjukkan keadaan bulan menjadi biru tetapi istilah berkenaan merupakan metafora yang diberikan bagi bulan mengambang yang jarang berlaku – once in a blue moon.

Menurut Ini Sains Beb, ada dua takrifan paling terkenal menyebabkan sesuatu bulan purnama digelar sebagai bulan biru.

1. BERMUSIM

Bulan purnama ketiga dalam satu musim. Dalam satu tahun tropika, ada empat musim dan setiap musim panjangnya ialah tiga bulan. Ini bermakna satu musim kebiasaannya akan mempunyai tiga bulan purnama.

Jika satu musim mempunyai empat bulan purnama, maka bulan purnama ketiga digelar sebagai bulan biru. Contohnya yang berlaku pada 2019. Dalam contoh di bawah, bulan purnama ketiga (19 Mei) dipanggil sebagai bulan biru.

Ekuinoks: 21 Mac 2019
Bulan purnama : ~ 21 Mac 2019
Bulan purnama : ~ 19 April 2019
Bulan purnama : ~ 19 Mei 2019
Bulan purnama : ~ 17 Jun 2019
Solstis: 21 Jun 2019

2. BULANAN

Dalam satu bulan kalendar Masihi, kebiasaannya akan ada satu bulan purnama. Tetapi sekiranya dalam satu bulan kalendar Masihi itu ada dua bulan purnama, bulan keduanya akan digelar sebagai bulan biru.

Contohnya yang akan berlaku pada 31 Oktober ini. Bulan purnama pertama telah berlaku pada 2 Okober ini diikuti dengan bulan kedua dalam bulan yang sama iaitu pada 31 Oktober 2020.

Cahaya bulan berubah menjadi warna biru

Cahaya bulan boleh berubah menjadi warna biru seandainya lapisan atmosfera bumi dipenuhi dengan zarah-zarah besar seperti abu daripada letusan gunung berapi menyebabkan serakan Mie (Mie scattering) di atmosfera sehingga menyebabkan cahaya bulan kelihatan berwarna biru.

Night landscape of sky and super moon with bright moonlight behind silhouette of tree branch. Serenity nature background. Outdoors at nighttime.
Night landscape of sky and super moon with bright moonlight behind silhouette of tree branch. Serenity nature background. Outdoors at nighttime. Selective focus

Fenomena bulan biru pernah dilaporkan semasa letusan gunung berapi Krakatau (1883), El Chichon (1983), St. Helen (1980) dan Pinatubo (1991).

Jelasnya di sini, peristiwa bulan biru yang dihebahkan akan berlaku tidak benar kerana cahaya bulan tidak akan berubah menjadi biru sekiranya tiada peristiwa yang mempengaruhi kandungan atmosfera ketika itu.

Hakikatnya,fenomena ini bukanlah tidak pernah berlaku langsung tetapi ianya merupakan satu fenomena yang boleh dicerap dari masa ke semasa tanpa elemen konspirasi atau membawa alamat malapetaka akan berlaku.

Lihat kalendar fasa bulan di sini: MOON Connection