Protes Sentimen Anti-Islam, Negara-Negara Arab Lancar Gerakan Boikot Produk Perancis

Boikot Produk Perancis Anti-Islam

Negara-Negara Arab Lancar Gerakan Boikot Produk Perancis.

Ketika ini, di rantau Arab dan beberapa negara Muslim telah melancarkan gerakan untuk memboikot produk Perancis sebagai tanda protes terhadap sentimen anti-Islam yang kembali meningkat di Paris susulan kejadian seorang guru dipenggal kerana tindakan biadabnya menunjukkan karikatur Nabi.

Gesaan semakin meningkat apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan angkuh menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Presiden Emmanuel Macron, menuduh Islam dan penganutnya sebagai ‘pemisah’ selain pernah mengatakan Islam adalah agama yang dilanda krisis di seluruh dunia.

Pengguna media sosial menukar gambar profil mereka dengan sepanduk ‘Muhammad pesuruh ALLAH’ sebagai bantahan terhadap kenyataan Macron yang mempersendakan Rasulullah pada Rabu lalu dengan tanda pagar #BoycottFrenchProducts yang turut menjadi trending di Twitter.

Antara reaksi negara Islam dalam protes ini:

Di Kuwait, pasar raya besar Alnaeem Cooperative Society mengumumkan untuk mengeluarkan semua produk Perancis dari rak mereka sebagai protes terhadap kenyataan Presiden Perancis yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Langkah serupa diambil oleh beberapa kumpulan perdagangan seperti Suburb Afternoon Association, Eqaila Cooperative Society, dan Saad Al Abdallah City Cooperative Society.

Kesemua kumpulan itu menerbitkan foto-foto yang menunjukkan produk Perancis dikeluarkan dari kedai mereka.

Boikot Produk Perancis Anti-Islam

Begitu juga berlaku di Qatar, yang mana Alwajba Dairy Company dan Almeera Consumer Goods Company mengatakan mereka memboikot produk Perancis dan akan mencari alternatif lain.

Universiti Qatar juga bergabung dalam kempen boikot, mengumumkan akan menunda Minggu Budaya Perancis sebagai protes atas penghinaan anti-Islam.

Boikot Produk Perancis Anti-Islam

Dalam perkembangan berkaitan, Paris telah memanggil semula Duta Perancis ke Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan Macron perlu melakukan pemeriksaan mental kerana berikrar untuk mempertahankan nilai sekular dan memerangi radikal Islam.

“Pendirian Macron yang menggalakkan penerbitan karikatur Nabi Muhammad adalah cubaan untuk menghidupkan semula Perang Salib yang pernah dicetuskan Perancis sebelum ini,” kata jurucakapnya, Sami Abu Zuhri.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengutuk serangan, hasutan dan sentimen anti-Islam yang berterusan serta perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW.

Pertubuhan itu, dalam satu kenyataan, mengkritik wacana sesetengah ahli politik Perancis yang dianggap memudaratkan hubungan Islam-Perancis, mencetuskan kebencian dan hanya menegakkan kepentingan politik kepartian.

OIC juga mengutuk pembunuhan guru Perancis, Samuel Paty, yang dipenggal pada minggu lalu di pinggir bandar Paris, kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada anak muridnya.

Kenyataan itu juga menolak hasutan menentang Islam, simbol yang mengaitkan umat Islam dengan keganasan dan perbuatan mempersendakan Nabi Muhammad.

Majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, melakukan tindakan provokatif menerbitkan kandungan anti-Islam dan karikatur Nabi Muhammad, yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kartun kontroversi itu mencetuskan kemarahan dan ketidakselesaan dalam kalangan orang Islam seluruh dunia pada 2005 apabila ia pertama kali diterbitkan oleh akhbar Denmark, Jyllands-Posten.

Awal September lalu, Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun seumpamanya ketika permulaan perbicaraan serangan militan Islam di pejabatnya di Paris pada Januari 2015, yang mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Sumber: BH, Sinar Harian,RMOL