Pemain PUBG Bakal Dihukum Sebat, Ini Alasan Majlis Ulama

Di bandar Aceh, Indonesia, mana-mana individu yang aktif bermainan permainan video Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) bakal dihukum sebat di khalayak ramai.

BACA: Kemas Kini Terbaharu PUBG Dilapor Ada Unsur Syirik, Cetus Perbalahan Para Pemain

Tegas Ketua Majlis Ulama Daerah Aceh Barat, Teungku  Abdurrani Adian, permainan video tersebut telah melanggar syariat Islam kerana mengandungi unsur-unsur kekerasan atau peperangan yang membawa keburukan kepada pemainnya.

Menganggap ianya selari dengan bandar Aceh yang berpegang pada syariat, Teungku Abdurrani percaya setiap pemain aktifnya layak diseret dan dikenakan hukuman yang bersesuaian.

PUBG

Pada 19 Jun 2019, Majlis Ulama Aceh telah mengeluarkan fatwa bahawa permainan video PUBG adalah haram di bawah Kanun (Perda) Nombor 6 Tahun 2014 Hukum Jinayat kerana:

  1. banyak memberikan kesan negatif kepada masyarakat, terutamanya pada golongan muda, dan
  2. sarat dengan unsur kekerasan dan peperangan yang dikhuatiri menjejaskan akhlak dan psikologi pemain.

Biarpun masih belum ada sebarang pelaksanaan undang-undang termasuk pemain PUBG dihukum sebat, Teungku Abdurrani menjelaskan pemerintah Aceh sebenarnya sudah boleh melaksanakannya.

Rata-rata ulama di Aceh sependapat bahawa ianya lebih membawa kerugian berbanding kebaikan kerana mampu menyebabkan ketagihan yang boleh mempengaruhi perilaku pemain.

Setakat ini, fatwa yang dikeluarkan berkenaan pengharaman PUBG oleh Majlis Ulama Aceh masih belum diiktiraf Majlis Ulama Indonesia.

Terdahulu, kemas kini permainan video PUBG hangat diperdebatkan di media sosial susulan daripada mempunyai elemen-elemen yang didakwa sebagai syirik iaitu penyembahan berhala yang boleh melanggar akidah umat Islam.