Culik Wanita Untuk Dijadikan Isteri, Tradisi Pelik Ini Masih Jadi Amalan Orang Kyrgyzstan

Di negara Kyrgyzstan, wanita secara tiba-tiba boleh bergelar isteri kepada mana-mana individu lelaki sama ada yang mereka kenali atau pun tidak dengan adanya tradisi culik wanita.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Di Kyrgyzstan, wanita menjadi mangsa penindasan tradisi yang dipanggil Alakachu (rebut dan lari) yang mana telah menekan hak wanita untuk memilih pasangan hidup mereka sendiri.

Sekiranya seorang lelaki Kyrgyzstan berkenan dengan seorang wanita, wanita tersebut akan di culik oleh kumpulan lelaki tersebut dan membawa mangsa ke rumahnya.

Selepas itu, wanita berkenaan akan terus dipersiapkan oleh kaum wanita dalam keluarga lelaki tersebut untuk majlis perkahwinan – tanpa pengetahuan keluarga pihak perempuan.

Situasi ini bukan setakat terjadi kepada wanita, malah juga kepada kanak-kanak semuda 12 tahun!

Culik Wanita Untuk Dijadikan Isteri, Adat Pelik Ini Masih Jadi Amalan Orang Kyrgyzstan 2
Sumber: Noriko Hayashi

Pernah dilaporkan, seorang wanita mendedahkan beliau diculik ketika usia 14 tahun untuk dijadikan isteri, dan kini biarpun perkahwinan yang dibina hampir mencecah 40 tahun, masih tidak terbit lagi rasa cinta buat suaminya.

Data daripada Dana Populasi Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan satu daripada 10 remaja perempuan di Kyrgyzstan berkahwin sebelum usia 18 tahun, dan perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak ini adalah kerana tradisi culik wanita untuk dijadikan pengantin.

Culik Wanita Untuk Dijadikan Isteri, Adat Pelik Ini Masih Jadi Amalan Orang Kyrgyzstan 1
Sumber: IDFA

Pada tahun 2013, undang-undang Kyrgyzstan menyatakan penculikan untuk perkahwinan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Namun tradisi ini tetap diteruskan dan tidak banyak laporan polis yang diterima daripada pihak keluarga yang terlibat.

BACA: Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Kenalan Berkahwin Dengan Kanak-Kanak Bawah Umur?

Ini kerana ramai yang masih berfikir tradisi ini berkaitan dengan hal peribadi yang harus diselesaikan dalam keluarga masing-masing.

Walaupun wakil rakyat Kyrgyzstan, Dauletova menyatakan adat penculikan ini semakin berkurangan, namun kerana tiada data rasmi yang menyokong menjadikan ianya sukar untuk disahkan.

Kyrgyzstan pernah menjadi negara yang mencatatkan kes penculikan tertinggi di dunia yang mana dalam tempoh 40 minit pastinya akan ada kes penculikan yang berlaku, dan untuk setahun hampir 12,000 wanita diculik untuk perkahwinan paksa ini.

Culik Wanita Untuk Dijadikan Isteri, Adat Pelik Ini Masih Jadi Amalan Orang Kyrgyzstan
Sumber: Vice

Disebabkan tradisi mereka tidak memberikan pilihan kepada wanita untuk memilih, maka ianya secara tidak langsung menjadi faktor utama kegagalan rumah tangga dan jenayah lain.

Untuk pengetahuan anda, tradisi ini bukan hanya berlaku di Kyrgyzstan, tetapi juga berlaku di beberapa kawasan lain seperti dalam suku Sasak Lombok, Indonesia.