Tiada Keperluan Isytihar Darurat – Agong

Sumber: Harian Metro

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam satu kenyataan Istana Negara sebentar tadi bertitah tiada keperluan untuk isytihar darurat di Malaysia buat masa sekarang.

BACA: Apa Kesan Jika Negara Isytihar Darurat COVID-19?

Keputusan berkenaan dibuat hasil daripada perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Titah baginda, kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan. Baginda percaya kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak ini daripada terus merebak.

Beberapa hari lalu, istilah darurat menjadi perbincangan hangat di media sosial selepas media melaporkan bahawa kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan ‘darurat’.

BACA: Kabinet Setuju Untuk ‘Darurat’, Ini Yang Perlu Anda Tahu

Menurut portal media Malaysia Dateline, ia berikutan daripada kebimbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada November hadapan tidak akan diluluskan sekiranya sekelompok sahaja Ahli Parlimen UMNO yang bertindak menentangnya – membawa kepada gambaran Ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan hari ini.

Daripada sumber rapat dengan rundingan, mereka mahu sidang Parlimen selama 27 hari dari 2 November hingga 15 Disember ini digantung kerana bimbang ‘kluster Parlimen’ berlaku selain daripada mengurangkan ketidakstabilan politik semasa.

Kabinet Setuju Untuk ‘Darurat’, Ini Yang Perlu Anda Tahu - Agong Isytihar Darura

Darurat merupakan satu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Pemasyuran dibuat oleh YDPA melalui satu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Terdapat tiga asas yang boleh digunakan oleh Agong dalam membuat pengisytiharan darurat iaitu ancaman kepada keselamatan negara, keselamatan ekonomi atau ketenteraman awam.

Agong boleh isytihar darurat pada bila-bila masa sama ada semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang, tidak bersidang atau pun bubar. Syarat yang diperlukan ialah bukti bahawa tiga eleman (asas) di atas telah atau hampir berlaku.