Kerap Berlaku Gangguan Bekalan Air, Profesor Saran Guna Air Laut Selesaikan Masalah

Guna Air Laut Selesaikan Masalah Bekalan Air

Kerap Berlaku Gangguan Bekalan Air, Profesor Saran Guna Air Laut Selesaikan Masalah

Kekerapan berlakunya gangguan bekalan air di Selangor sudah semestinya membuatkan ramai pengguna merunggut biarpun adakalanya masalah gangguan itu datang dari pihak kilang yang tidak bertanggungjawab melepaskan sisa-sisa pencemaran ke sungai.

BACA: Ini Sebab Kenapa Selangor Sering Alami Masalah Gangguan Bekalan Air

Bagaimanapun, perkara ini mungkin boleh diselesaikan menerusi teknologi memproses air laut seperti yang disarankan oleh Felo Akademi Sains, Profesor Datuk Dr Ahmad Ibrahim.

Katanya, teknologi yang dikenali sebagai teknologi membran kini semakin popular digunakan dalam rawatan air yang bermasalah.

“Seperti yang kita semua sedar, air laut adalah salah satu contoh air yang paling bermasalah di dunia untuk dimanfaatkan kerana kandungan garamnya yang tinggi.

“Walhal, air laut merupakan sumber air yang paling banyak. Alangkah eloknya kalau air laut dapat dirawat untuk digunakan sebagai air bersih,” katanya.

Guna Air Laut Selesaikan Masalah Bekalan Air

Tambahnya, kini banyak usaha pembanguan (R&D) dalam pembuatan pelbagai jenis membran. Kilang penyahgaraman di dunia kini banyak menggunakan membran untuk menghapuskan unsur-unsur yang perlu dinyahkan terutamanya garam.

Beliau yang jua merupakan profesor dalam pengurusan alam sekitar di Jabatan Kimia dan Petroleum, Fakulti Kejuruteraan, Teknologi dan Pembinaan Alam, Universiti UCSI berkata, hasil daripada kemajuan yang dibuat dalam reka bentuk dan operasi sistem membran, kos juga telah turun dengan banyak.

Guna Air Laut Selesaikan Masalah Bekalan Air

Banyak negara sudah guna teknologi membran

Negara-negara yang menggunakan teknologi membran untuk menyahgaram air laut tidak lagi mengadu insiden gangguan bekalan air. Justeru, tiada sebab mengapa teknologi membran yang sama tidak dapat dimanfaatkan dalam perawatan air bersih di Malaysia.

Menurutnya, jika teknologi rawatan air yang digunakan berkemampuan mengenyahkan semua bahan pencemar yang menimbulkan masalah itu, isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku ketika ini akan menjadi sejarah.

Sebenarnya, cadangan menggunakan air laut untuk dijadikan sumber kegunaan harian di sini telah ada. Namun, banyak faktor dan implikasi yang perlu dititikberatkan sebelum boleh dilaksanakan.

Antara faktor yang terlibat seperti kos keseluruhan dikaitkan dengan tenaga buruh, kos tenaga elektrik, harga tanah, perjanjian kewangan dan bahkan sesuatu yang primitif di sebuah kawasan itu seperti paras garam dalam air yang ingin disuling.

Misalnya, di Amerika Syarikat, kos penyulingan air garam boleh mencecah dari RM4 hingga RM8 bagi satu meter padu air (satu meter padu air laut boleh digambarkan seperti 999 liter).

Jika dibandingkan dengan sumber air sungai atau air bawah tanah, jauh berbeza kerana kos bagi satu meter padu air hanyalah sekitar 40 sen hingga 80 sen.

Selain itu, isu-isu alam sekitar juga dikaitkan dengan penyahgaraman air. Contohnya, kehidupan laut boleh disedut masuk ke dalam kilang penyahgaraman, membunuh makhluk laut kecil termasuk ikan kecil dan plankton.

Sumber: Sinar Harian, Iluminasi