Jadi Lokasi Muzik Video Siti Nurhaliza, Ini Sejarah Rumah Agam Di Tengah Kuala Lumpur

Rumah Tangsi Chow Kit
Sumber: FB Rumah Tangsi

Sejarah Rumah Agam Di Tengah Kuala Lumpur.

Siapa yang menonton muzik video penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza yang berjudul Siapa Tak Mahu di saluran YouTube pasti terpegun melihat lokasi rumah agam yang dilihat begitu mewah dan penuh fantasi itu.

Suasana lokasi itu bagaikan berada di luar negara, namun sebenarnya rumah agam itu hanya terletak di tengah nadi ibu kota Kuala Lumpur.

Rumah Tangsi milik Loke Chow Kit

Jika anda memandu menuju ke Jalan Kinabalu, pasti pandangan mata melirik ke sebuah bangunan dua tingkat dengan cat kuning. Ia asalnya adalah rumah agam milik Loke Chow Kit, tokoh perniagaan berbangsa Cina yang terkenal dalam bidang perlombongan.

Dengan pengalaman dan modal yang terkumpul, Loke Chow Kit kemudiannya membina perniagaannya sendiri dengan menubuhkan Chow Kit & Co, selain pada masa yang sama turut menjadi pengarah dan pemegang saham di beberapa buah syarikat perlombongan.

Loke Chow Kit juga merupakan figura utama dalam masyarakat cina, khususnya di Kuala Lumpur, beliau banyak terlibat didalam aktiviti sosial, juga aktiviti kebajikan anjuran pelbagai pertubuhan awam pada ketika itu.

Rumah Tangsi Chow Kit
Sumber: OurDaily

Atas sumbangan kemasyarkatan yang besar jugalah beliau mendapat pengiktirafan hingga dianugerahi dengan Jaksa Pendamai (J.P) pada tahun 1917, beliau adalah rakyat Malaysia pertama dari keturunan cina yang menerima pengiktirafan berkenaan.

Jasanya itulah namanya diabadikan di salah satu jalan di Kuala Lumpur – Jalan Chow Kit.

Diduduki pada 1905 di kawasan perumahan mewah warga Inggeris ketika era penjajahan British, ruamh agam ini dikatakan satu-satunya bangunan milik warga tempatan di kawasan yang dikenali sebagai European Quarter itu.

Ia kemudiannya diadaptasi sebagai Hotel Empire pada 1908 dan Hotel Peninsular. Usai proses baik pulih yang memakan masa hampir dua tahun, kini rumah agam yang dikenali sebagai Rumah Tangsi diwartakan sebagai Warisan Negara pada 2012.

Beralamat di nombor 10, Jalan Tangsi, Tasik Perdana Kuala Lumpur, keseluruhan rekaan bangunan banyak dipengaruhi elemen British yang tidak asing sekitar tahun 1900.

Masih mengekalkan seni bina asal, rumah ini terdiri daripada ruang tamu utama, laman dalam, ruang galeri seni, pejabat, bilik mesyuarat dan patio. Berkeluasan 5000 kaki persegi, terdapat juga ruang parkir kereta dan boleh memuatkan seramai 350 tetamu pada suatu masa.

Rumah Tangsi Chow Kit
Sumber: FB Rumah Tangsi

Masih kekal ciri dan seni bina asal

Menawarkan pelbagai ruang dalaman dan luaran yang luas, Rumah Tangsi masih mengekalkan ciri-ciri dan seni bina asal. Misalnya jubin lantai, tingkap, courtyard, tangga kayu, pintu dan lain-lain.

Malah di ruang belakang rumah terdapat perigi dan laluan khas yang turut dikekalkan rekaannya sebagai nilai tambah dan seni warisan keseluruhan Rumah Tangsi.

Menjadi seliaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Rumah Tangsi kini diuruskan oleh Seetizens Lab dan menjadi antara lokasi pelancongan terbaharu kerana kedudukannya yang terletak di tengah ibu kota.

Majlis perkahwinan, seminar, acara korporat dan banyak lagi boleh direalisasikan disini namun terdapat beberapa syarat dan terma serta garis panduan yang perlu dipatuhi.

Sumber: Gempak, Harith Sidek