Apa Beza Bandar Dan Bandar Raya?

Beza Bandar dan Bandar Raya

Apa Beza Bandar Dan Bandar Raya?

Pada 21 Oktober 2020, Majlis Perbandaran Subang Jaya diisytiharkan sebaga i Majlis Bandaraya Subang Jaya yang menjadikan status Subang Jaya kepada sebuah bandar raya.

Perkara itu mendapat perkenan Sultan Selangor setelah Subang Jaya dilihat memenuhi kriteria untuk menjadi sebuah bandar raya, sama seperti Ipoh, Pulau Pinang dan Shah Alam.

Pengumuman Subang Jaya sebagai bandar raya turut membuka mata segelintir masyarakat yang menyangka selama ini Subang Jaya sememangnya sudah berstatus sebuah bandar raya.

Beza bandar dan bandar raya

Kenapa berlakunya kenaikan taraf bandar kepada bandar raya dan apa kriteria-kriteria yang harus diteliti?

Bandar raya di Malaysia ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu kerajaan yang berada di peringkat paling rendah dalam sistem pentadbiran negara.

PBT terbahagi kepada empat, iaitu Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Antara contoh Dewan Bandaraya termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Dewan atau Bandaraya merupakan hierarki tertinggi bagi sesebuah PBT.

Penentu status Bandaraya ini tertakluk kepada beberapa syarat, pekeliling dan juga Akta yang membentuk sesebuah PBT seperti Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) di Semenanjung, Kata Ibu Kota Persekutuan (DBKL) dan Ordinans (Sabah dan Sarawak).

Pemberian status Bandar Raya ini juga berdasarkan penilaian dan syor KPKT di peringkat Persekutuan dan SUK Negeri sebelum dibawa untuk kelulusan Kabinet sebelum watikah pengistiharan ditandatangani oleh DYMM Agong.

Beza Bandar dan Bandar Raya
Sumber: Getting Stamped

Beza Majlis Bandaraya dengan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah

Menurut portal rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan/ Majlis Bandaraya merupakan Majlis Perbandaran yang dinaik taraf kepada bandar raya setelah melepasi kriteria tertentu.

Antara kriteria Dewan/ Majlis Bandaraya ialah jumlah penduduk melebihi 500,000 orang dan pendapatan tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melebihi RM100 juta.

Majlis Perbandaran pula merupakan bandar urban yang memiliki kriteria jumlah penduduk melebihi 150,000 orang dan hasil tahunan melebihi RM20 juta.

Manakala Majlis Daerah lebih kepada luar bandar dengan kriteria jumlah penduduk kurang 150,000 dan pendapatan tahunan kurang RM20 juta.

Dengan pengumuman Subang Jaya sebagai bandar raya, sekali gus menjadikan Subang Jaya bandar raya ke-16 di Malaysia.

Senarai bandar raya megikut tarikh pengisytiharan:

George Town – 1 Januari 1957
Kuala Lumpur – 1Januari 1972
Ipoh – 27 Mei 1988
Kuching – 1 Ogos 1988
Johor Bahru – 1 Januari 1994
Kota Kinabalu – 2 Februari 2000
Shah Alam – 10 Oktober 2000
Melaka – 15 April 2003
Alor Setar – 21 Disember 2003
Miri – 20 Mei 2005
Petaling Jaya – 20 Jun 2006
Kuala Terengganu – 1 Januari 2008
Iskandar Puteri – 22 November 2017
Seberang Perai – 16 September 2019
Seremban – 1 Januari 2020
Subang Jaya – 20 Oktober 2020

Sumber: RancakTV