Maksud Undi Tidak Percaya Daripada Sudut Perlembagaan Negara

Sejak dari hari pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia, beliau didesak oleh beberapa pihak untuk melepaskan jawatan dengan mengemukakan usul undi tidak percaya. Apa sebenarnya maksud undi tidak percaya?

Sedang Malaysia sedang ‘berperang’ dengan wabak pandemik COVID-19, keadaan negara semakin diburukkan lagi dengan pelbagai situasi politik yang menambahkan kecelaruan serta kebimbangan dalam masyarakat.

BACA: Speaker Maklumkan Terima Usul Undi Tidak Percaya Tun M Terhadap Perdana Menteri

Seringkali kita dengar mengenai undi tidak percaya, namun apa maksud undi tidak percaya menurut Perlembagaan Negara?

Dedah ‘Kedegilan’ Tun M Lepaskan Jawatan PM Ke-7, Ini Antara ‘Sindiran’ Agong Di Parlimen 1
Sumber: Harian Metro

Menurut seorang Pakar Perlembagaan, Dr Shamrahayu Aziz, undi tidak percaya atau motion of no confidence adalah untuk menyatakan bahawa seseorang itu tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan.

Undi tidak percaya boleh berlaku dalam salah satu keadaan ini:

  • Undi secara formal dalam Dewan
  • Rang Undang-Undang kerajaan tidak diluluskan pada bacaan kedua dan/atau ketiga
  • Perdana Menteri gagal mendapatkan undi percaya setelah memfailkan usul undi percaya
  • Kerajaan gagal dalam pelaksanaan polisi penting
  • Keadaan luar biasa – seperti lompat parti; atau membuat pengumuman dan memaklumkan kepada Ketua Negara kerana bertukar keyakinan

Jumlah membolehkan undi tidak percaya dibawa ke Parlimen

Undang-undang tidak mensyaratkan sebarang jumlah usul untuk ianya dimasukkan dalam agenda persidangan Majlis Parlimen (hatta satu) dengan syarat menepati hukum dan tatacara membuat usul.

Kenapa usul undi tidak percaya diletakkan pada senarai bawah dalam Aturan Mesyuarat bagi persidangan Dewan?

Ini kerana usul undi tidak percaya adalah usul yang dimasukkan oleh ahli persendirian dan tidak mewakili kerajaan.

Peraturan 15(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, (Standing Order) menyatakan urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain dan diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan Kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.

Akan tetapi, Peraturan 14 (2) menyatakan Aturan Mesyuarat boleh diubah sekiraya dicadangkan oleh seorang Menteri.

Ada cadangan yang mahukan usul undi tidak percaya ini diletakkan pada senarai yang teratas kerana ianya adalah urusan penting dan perlu didahulukan untuk menentukan keabsahan lantikan Perdana Menteri. Ini dikatakan amalan dalam Parlimen.

Namun, suatu amalan itu boleh digunakan sekiranya dipersetujui oleh ahli Dewan. Ia tidak boleh diamalkan sekiranya tidak dipersetujui oleh ahli Dewan. Satu perkara lain yang menjadikannya sukar ialah kerana Peraturan 15(1) dan (2) adalah jelas mendahulukan urusan kerajaan.

Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order)

Standing Order:

  • Tatacara atau peraturan persidangan Dewan Rakyat. Ia dibuat oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri”.
  • Merupakan Peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua Ahli Dewan, termasuk juga Yang di-Pertua Dewan (Spaker) dan penyeliaan persidangan Dewan.
  • Boleh dipinda oleh Ahli Dewan.
  • Tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi).

Usul undi tidak percaya diusulkan

Tujuannya diusulkan adalah untuk menafikan kepercayaan kepada Perdana Menteri atas beberapa sebab, sebagai contoh Perdana Menteri tak layak jadi Perdana Menteri disebabkan ketidakbolehan melaksanakan tugas.

Di Malaysia,undi tidak percaya adalah hanya kepada Perdana Menteri kerana beliau sahaja yang memegang jawatan atas kepercayaan Ahli Dewan, manakala Menteri lain atau ahli Jemaah Menteri,memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun lantikan Perdana Menteri adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi Perdana Menteri tidak memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hal ini dinyatakan dalam Perkara 43(5) yang menyatakan, “Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya”.

Sekiranya undi tak percaya berjaya diluluskan (mendapat majoriti Dewan), sesuatu kerajaan itu mungkin akan runtuh. Proses yang akan diambil ialah prosedur yang dinyatakan dalam Perkara 43(4).

Pada Fasal 43(4) diperuntukkan, “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

TUANKU ABDUL HALIM

Sekiranya Perdana Menteri enggan meletakkan jawatannya yang sekali gus meletakkan jawatan Jemaah Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh memecatnya dengan syarat telah terbukti kepada baginda bahawa Perdana Menteri telah secara sah, telah hilang kepercayaan; atau apabila Perdana Menteri sendiri memperakui beliau telah hilang kepercayaan ahli Dewan dan memaklumkan keadaan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun begitu, ada pandangan bahawa dalam masa munasabah selepas suatu undi tidak percaya diluluskan, Perdana Menteri juga berpeluang untuk kembali mendapatkan undi percaya. Namun perkara ini belum pernah berlaku di negara kita dan sukar untuk ianya berlaku.

Usul undi tidak percaya gagal diluluskan

Sekiranya usul undi tidak percaya gagal diluluskan, Perdana Menteri masih lagi mempunyai kepercayaan mjoriti.