Arab Saudi Naikkan VAT Tiga Kali Ganda, Henti Pemberian Elaun Bulanan Rakyat

Arab Saudi VAT Tiga Kali Ganda

Arab Saudi akan menaikkan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada lima peratus kepada 15 peratus susulan kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara.

Selain itu, pihak berkuasa juga menghentikan pemberian elaun bulanan rakyatnya yang bertujuan menangani kos sara hidup, ditambah pula dengan harga minyak yang menjunam tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan pada Isnin. Menurut laporan agensi berita negara berkenaan, pemberian elaun bulanan rakyat akan ditangguhkan mulai 1 Jun manakala kenaikan VAT bermula 1 Julai.

Arab Saudi VAT Tiga Kali Ganda

“Langkah ini menyakitkan tetapi perlu untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan ekonomi dalam jangka panjang dan untuk mengatasi krisis koronavirus yang belum pernah terjadi selama ini dengan sekecil mungkin kerosakan,” kata Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan dalam kenyataan itu.

Menurut menterinya, Riyadh dijangka kehilangan separuh daripada pendapatan dihasilkan menerusi minyak, yang menyumbang kira-kira 70 peratus pendapatan awam, susulan kejatuhan harga bahan itu sebanyak dua pertiga sejak awal tahun ini.

Katanya, negara peneraju pengeksport minyak mentah itu perlu meminjam hampir AS$60 bilion (RM261 bilion) tahun ini bagi menampung defisit belanjawan.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April meramalkan bahawa ekonomi Saudi akan menguncup sebanyak 2.3 peratus tahun ini.

Arab Saudi melaksanakan VAT pada tahun 2018, sejajar dengan cadangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya negara Teluk mengenakan langkah menambah pendapatan termasuk daripada cukai eksais dan cukai nilai tambah.

Langkah itu penting dalam usaha menyesuaikan keadaan dengan harga minyak mentah yang rendah sehingga menyebabkan pertumbuhan ekonomi serantau lemah.

Sumber: Reuters