Apa Kesan Jika Negara Isytihar Darurat COVID-19?

Kesan jika isytihar darurat COVID-19

Pada awalnya, ramai pemimpin negara menjangkakan penularan wabak COVID-19 yang berpunca dari Wuhan, China tidak seteruk apa yang berlaku waktu ini.

Beberapa negara sudah mengisytiharkan darurat kecemasan kesihatan termasuklah beberapa negeri di Amerika Syarikat, Sepanyol, Kazakhstan, Indonesia, Thailand dan Jepun juga bakal menyusul.

Kemungkinan Jepun akan mengisytiharkan perintah darurat selama enam bulan bermula esok dalam usaha menghentikan penularan COVID-19 di seluruh negara itu selepas jumlah terkumpul jangkitan wabak itu melebihi 1,000 kes di Tokyo dan telah menyebabkan kemelesetan kepada negara Matahari Terbit itu.

Perintah itu akan membabitkan Tokyo dan bandar metropolitan lain termasuk Osaka, kata sumber yang tidak didedahkan.

Di Indonesia, pihak berkuasa telah mewajibkan seluruh penduduk Jakarta yang mahu keluar rumah perlu mengenakan pelitup muka. Penggunaan pelitup muka ini merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mewajibkan mereka yang sakit mahupun sihat mengenakan pelitup muka.

Malaysia setakat ini tidak mengisytiharkan darurat kecemasan kesihatan tetapi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua. Bagaimanapun, ada yang mahu Malaysia mengisytiharkan darurat kerana kes COVID-19 di sini belum menunjukkan tanda-tanda lega.

Bila isytihar darurat?

Darurat adalah keadaan mencemaskan yang biasanya berlaku secara tiba-tiba. Apabila darurat berlaku, segala undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan pada tempoh itu akan dilaksanakan tanpa perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Di Malaysia, perisytiharan darurat yang dibuat mestilah di bawah kebenaran, atau diisytiharkan oleh Yang di-Pertua Agong (YDPA), iaitu Ketua Negara Malaysia seperti peruntukan dalam Perkara 150, bawah Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan ini, darurat perlu diisytiharkan jika baginda sebagai ketua negara setuju apabila terdapat situasi kecemasan yang mengganggu-gugat keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam negara macam rusuhan, perang saudara, demonstrasi besar-besaran serta bencana alam seperti fenomena jerebu atau banjir.

Kesan jika isytihar darurat COVID-19

Apa kesan jika isytihar darurat?

Apabila darurat berlaku maka setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk arahan berpindah dan arahan untuk menggunakan aset-aset yang lain, wajib dipatuhi.

Mengambil peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini, contohnya ketika darurat jerebu, semua premis awam serta swasta termasuklah kilang, ladang dan kawasan pembinaan akan ditutup. Arahan penutupan itu tidak termasuk perkhidmatan air, elektrik, kesihatan, keselamatan, komunikasi, pengangkutan, kewangan serta pembekal bahan bakar.

Manakala ketika darurat bencana, antara langkah yang dilakukan ialah pengambilan tanah dan tempat-tempat persendirian seperti rumah atau bangunan untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan tanpa kerajaan membayar saguhati atau pampasan kepada pemilik tanah atau bangunan tersebut atau mengusir mana-mana pihak daripada premisnya untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

Selain itu, apabila diisytiharkan darurat, kerajaan persekutuan boleh mengambil alih semua hal pentadbiran dari kerajaan negeri atau agensi-agensi kerajaan. Pihak berkuasa juga boleh tahan orang tanpa bicara, dan juga menyasar sesiapa sahaja yang dikatakan boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Bayangkan waktu ini sahaja sudah ada yang direman dan didenda kerana melanggar PKP, bagaimana pula jika waktu darurat?

Jadi, tidak semudah itu untuk negara mengisytiharkan darurat kerana banyak faktor perlu diambil kira. Ia bukan sahaja akan menyebabkan suasana panik dan kelam kabut keterlaluan dalam negara kita, tetapi akan memberi kesan negatif dan tidak baik kepada pelabur luar.

Sumber: Sinar Harian, Soscili