
Bina Surau Semata-Mata Untuk Orang Ramai Tumpang Solat, Amalan Mulia Tauke Kedai Ini Tidak Ternilai
Bagi mereka yang sering berkunjung ke pusat membeli-belah, bila tengok syok-syok shopping, tiba-tiba masuk waktu solat, pasti menggelabah nak cari surau, kan?
Kena pula time dah nak habis waktu, nak pergi masjid, memang dah tak sempat. Surau yang disediakan pula masih penuh dengan orang ramai yang beratur tunggu giliran. Takkan tiba-tiba nak ‘niat’ musafir?
Dalam satu artikel yang diterbitkan di portal mStar, dilaporkan mengenai sepasang suami isteri berbangsa Cina yang menyediakan surau khas untuk umat Islam singgah solat di kedai mereka.
Tak beli barang pun tak apa, datang je untuk tumpang solat pun boleh. Tak kisah walau bukan merupakan pekerja di pusat beli-belah tersebut, mana-mana pengunjung yang datang pun boleh singgah solat di situ.

Wow! Itulah inisiatif mulia dari Lee Chee Win, 63, dan Yong Siew Ching, 52, yang telah membuka perniagaan mereka di Pandan Indah, Kuala Lumpur sejak tahun 2000 lagi.
Premis yang menjual permainan kanak-kanak dan bayi termasuk alat permainan video tersebut diberi nama Playstation Toys And Baby Shop dan terletak di pusat membeli-belah Pandan Kapital.
Lee dan Yong menganggap hidup bermasyarakat serta berbilang kaum dan agama di Malaysia ini perlulah saling bantu-membantu serta bertolak ansur demi keamanan dan keharmonian bersama.
Mereka juga dikhabarkan tidak pernah berasa terganggu apabila kedai tersebut sering dipenuhi dengan orang ramai yang ingin menggunakan surau berkenaan setiap kali tiba waktu solat.
Bukan nak mengata, tapi kalau nak cari yang sama bangsa dan agama buat macam ni pun, memang jarang-jarang sangat boleh jumpa.
Biasanya, pernah terjadi sebelum ni, ada pemilik kedai yang tegas mengatakan surau mereka hanya disediakan untuk staf sahaja. Kalau ada pengunjung yang datang nak tumpang solat pun silap-silap kena halau pergi surau mall (kisah benar).

13 tahun lalu, surau yang dibina Lee dan Yong tersebut pada mulanya hanyalah tempat untuk mempamerkan barang jualan.
Namun, untuk memudahkan pekerjanya menunaikan solat tanpa perlu keluar ke surau atau masjid yang jaraknya agak jauh, mereka mengambil keputusan untuk mengubahnya kepada dua bilik yang menempatkan surau lelaki dan wanita.
Selepas menjadi tumpuan, mereka kemudiannya membuka pula surau tersebut untuk digunakan oleh orang awam.
Tidak cukup dengan itu, Lee dan Yong turut menyediakan tempat mengambil wuduk yang lengkap dengan selipar dan diasingkan dengan tirai untuk menjaga aurat antara lelaki dan wanita.
Kelengkapan solat seperti sejadah, kain pelikat dan juga telekung turut disediakan kepada mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, untuk memberi keselesaan kepada pengguna, mereka turut pernah membuat pengubahsuaian dengan menukar karpet kepada jubin agar surau awam tersebut lebih bersih dan mudah dijaga.
Meskipun hanya boleh memuatkan dua ke tiga orang sahaja pada satu-satu masa, mereka tetap menggalakkan orang ramai untuk mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) dengan beratur serta menunggu giliran selain membawa kelengkapan solat sendiri.
Rasanya, ini kalau boleh muat 40 jemaah, beliau sendiri akan mohon dari JAWI untuk dijadikan surau solat Jumaat di situ pula.

Pasangan suami isteri yang mempunyai 3 cahaya mata ini juga mempunyai seorang anak angkat berbangsa Melayu, Nik Aliza Abdullah, 37 yang berasal dari Terengganu dan dijaga oleh mereka sejak 20 tahun lalu kerana kasihankannya yang pernah hidup sebatang kara.
Nik Aliza yang kini sudah pun berkahwin dan mempunyai tiga orang anak banyak mengajar mereka tentang agama Islam malahan mereka sekeluarga turut berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan.
“Saya sayang mereka macam cucu sendiri malah mereka cukup rapat dengan kami sekeluarga. Ketiga-tiga mereka juga fasih berbahasa Mandarin dan Hakka,” jelas Yong yang gembira dan teruja dapat berkumpul bersama-sama Nik Aliza dan anak-anaknya setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.
Lepas ni, siapa nak cari mainan kanak-kanak dan bayi, Sony PlayStation 5 atau Nintendo Switch, bolehlah support uncle Lee dan aunty Yong! Kalau rajin solat di situ, mungkin boleh dapat diskaun.
BACA: 8 Situasi Pentingkan Diri Di Surau Wanita Yang Tak Sepatutnya Berlaku
Sumber: mStar