
Bimbang Jadi Ikutan, IRAMA Buat Laporan Polis Terhadap Usahawan ‘Perlekeh’ Warga Emas
IRAMA Buat Laporan Polis Terhadap Usahawan ‘Perlekeh’ Warga Emas.
Video tular seorang usahawan yang dilihat seolah memperlekeh seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur hingga mendapat kecaman netizen telah dikenakan kompaun RM1,500.
Kompaun yang dikeluarkan kerana usahwan itu didapati telah gagal memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di lokasi kejadian.
Menurut Awani, usahawan berkenaan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira kira jam 5.20 petang Rabu.
Dalam situasi ini, Polis Dang Wangi hanya mengeluarkan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka semasa berada di pusat itu yang melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.
Difahamkan, usahawan itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan di pusat transit berkenaan pada Selasa.
Bagaimanapun, satu laporan polis telah dibuat Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) atas perbuatan usahawan berkenaan yang dianggap tidak beretikan dan beradab.
Memetik sumber Gempak, IRAMA menegaskan tindakan perlu diambil kerana perbuatan tersebut tidak wajar dicontohi dan menjadi ikutan.
“Selalunya, bila perkara seumpama ini berlaku, reaksi warganet akan segera mengaitkan tindakan itu sebagai ‘perangai artis’.
“Ini membimbangkan kami dalam jangka masa panjang kerana tindakan mereka menyebabkan golongan artis terpalit sama.
“Lebih menakutkan ramai antara Influencer ini sememangnya akrab dengan golongan artis yang menyebabkan setiap tindakan mereka juga dikira sebagai tindakan para artis atau direstui oleh para artis,” kata Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid.
Jelasnya, mereka tidak mahu kelakuan tidak beretika itu menjadi ikutan golongan remaja yang telah menonton video berkenaan kerana bimbang ia akan dilihat sebagai cara untuk berjaya yang perlu diikuti.
Tambah beliau, Konsortium IRAMA berharap ada garis panduan dan tindakan yang lebih tegas terhadap apa jua aksi biadap dan tidak bertanggungjawab oleh para influencer.
Disebabkan video berkenaan menjadi buah mulut orang ramai, usahawan terbabit tampil memberi penjelasan dan turut membuat permohonan maaf.
IM SORRY 🙏🏻 pic.twitter.com/QL1qdAcER0
— CRLSMSDN (@carlsamsudin) July 29, 2021