
“Bila Anak Lelaki Kita Dah Berkahwin, Suruh Dia Keluar Dari Rumah Kita, Duduk Asing”
Dalam masyarakat kita hari ini, jujurnya masih ada ramai di kalangan ibu bapa yang tidak rela ‘berpisah’ dengan anak lelaki mereka meskipun anaknya itu telah menempuhi alam perkahwinan.
Memang diakui, keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini turut menyebabkan liku-liku kehidupan berkeluarga menjadi lebih sukar.
Namun, mereka perlu akur dengan perubahan hidup anak mereka tersebut yang kini sudah bergelar sebagai seorang suami, ayah dan ketua keluarga yang harus memikul tanggung jawab yang lebih besar untuk keluarganya sendiri.
Seperti yang dikongsikan oleh Firdaus Shakirin melalui satu hantaran yang pernah dibuat di Facebooknya tidak berapa lama dahulu, berikut merupakan kata-kata nasihat yang sama-sama boleh dijadikan sebagai renungan buat ibu bapa di luar sana yang masih lagi keberatan untuk tinggal berasingan dengan anak lelaki mereka.
“Bila anak lelaki kita dah berkahwin, suruh dia keluar dari rumah kita, duduk asing…”
Perkahwinan merupakan satu alam baru bagi mereka yang memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka…perkahwinan datang dengan tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan dilaksanakan oleh si suami dan juga si isteri…
Sebagai ibu bapa, kita perlu biar anak dan pasangannya hidup sendiri, biar anak dan pasangannya bina kehidupan mereka, biar anak dan pasangannya bersusah-susah dahulu, biar mereka atur kehidupan mereka sendiri, satu persatu…
Bagaimana mereka inginkan rumah tangga mereka jadi…
Jangan sebab alasan kos hidup tinggi, gaji anak sikit, dia tak pernah berenggang dengan kita, semua serba serbi kita yang sediakan kat dia, kita jadi kesian kat anak, kita “simpan” dia dalam rumah kita, kita tanggung dia dan pasangannya…sampai bila kita mampu buat macam tu?
He need to face the facts that now he is on his own…
Itu adalah cabaran yang dia perlu tempuhi dan hadapi bila dia memilih untuk mendirikan rumah tangga…dia perlu fikir akan semua itu dahulu sebelum dia berkahwin, dia perlu ada perancangan akan bagaimana dia ingin hidup bersama pasangannya selepas berkahwin…
Dia bakal menjadi seorang ketua keluarga, seorang suami, seorang ayah dan dia perlu plan masa depannya…perkahwinan bukannya satu perkara yang boleh dibuat main-main atau suka-suka…
Dia kena bertanggungjawab terhadap orang yang dikahwininya…
Biar dia tiggal dalam rumah sewa yang kecil, biar dia naik motor dengan pasangannya ke tempat keje, biar dia takde kereta, biar dia kena hujan, biar dia makan dan pakai apa yang ada, biar dia rasa apa itu pokai, apa itu “tengah bulan”, biar dia “ikat perut”, biar dia susah bersama pasangannya supaya dia tahu, bukan senang untuk melayari hidup berumahtangga, supaya dia tahu untuk bersyukur akan apa yang dia dah ada dan dapat selama ini, supaya dia tahu untuk lebih menghargai siapa yang ada bersamanya ketika dia susah, ketika dia baru nak membina kehidupannya…
Dia perlu belajar berdikari dan bertanggungjawab agar dia mampu membina keluarga yang bahagia dan mengatur masa depannya dengan lebih baik…
Kita sebagai ibu bapa dah membesarkannya selama 20 tahun, 30 tahun dengan cukup-cukup baik…maka sekarang, masa untuk melihat hasilnya…
BACA: Hanya Kerana Bergaji Kecil, Lebih Ramai Generasi Muda Kini ‘Takut’ Untuk Kahwin?
Sumber: Firdaus Shakirin