Bibir Bieber

Bibir Bieber Mungkin Tak Sempat Sembuh Menjelang Konsert – Ramalan Doktor

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“Nak nyanyi macam mana bibir sebelah je bergerak 😅”

Demikian pendapat Dr Yazeed Hair Johari melalui hantaran yang dibuat Facebooknya.

1 Bibir Bieber

Menurutnya lagi, siri jelajah konsert Justin Bieber: Justice World Tour yang dijadualkan akan diadakan pada 22 Oktober 2022 ini di Stadium Nasional Bukit Jalil juga mungkin dibatalkan!

Ini disebabkan sindrom Ramsay Hunt yang dihidapi oleh Justin Bieber ketika ini mengambil masa yang lama untuk sembuh dan kembali menjadi normal.

Ada pesakit dapat sembuh seawal 3 bulan. Namun, ada juga yang melebihi 6 bulan dengan bantuan rawatan physiotherapy atau magnetotherapy.

Lebih teruk, ada yang melebihi setahun dan sindrom Ramsay Hunt ini juga boleh menyebabkan Justin Bieber pekak atau lumpuh separuh muka secara kekal disebabkan oleh kerosakan saraf.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut membuat satu hantaran di Facebooknya mengenai Sindrom Ramsay Hunt yang menurutnya boleh memakan masa berbulan-bulan untuk sembuh.

Bibir Bieber

Seperti Dr Yazeed, Dr Kamarul juga menyatakan bahawa walaupun pesakit boleh pulih sepenuhnya, risiko kelumpuhan muka dan masalah pendengaran yang kekal masih boleh berlaku.

Menurut Dr Kamarul lagi, sindrom ini hanya berlaku kepada orang yang pernah mengalami cacar air (chicken pox) yang disebabkan oleh jangkitan virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air dan kayap (shingles).

Selepas seseorang itu pulih dari cacar air, sebahagian dari virus masih kekal di dalam saraf dan berkemungkinan boleh aktif kembali.

Jika ia berlaku di saraf rusuk, ia berpotensi menjadi kayap, manakala jika di saraf muka pula, ia menjadi sindrom Ramsay Hunt seperti Justin Bieber.

Secara teori, pengaktifan virus itu berlaku akibat penurunan sistem imun pada individu yang kurang zat, stres, warga emas, wanita hamil, penghidap kanser serta penyakit kronik.

Walaupun menyerupai gejala Bell’s palsy, Dr Kamarul menjelaskan bahawa gejala sindrom Ramsay Hunt adalah lebih banyak iaitu:

▪️ sakit telinga
▪️ pendengaran terjejas
▪️ kelumpuhan sebelah muka
▪️ ruam berlepuh (seperti kayap)
▪️ vertigo (pening berpusing)
▪️ kering mata dan mulut

Sindrom Ramsay Hunt boleh dirawat sama seperti cacar air dan kayap iaitu:

▪️ ubat antiviral
▪️ ubat kortikosteroid
▪️ analgesik (tahan sakit)
▪️ terapi (fisioterapi dan carakerja)

Setakat ini, masih belum ada apa-apa pengumuman rasmi mengenai penangguhan konsert ini dari pihak penganjur.

Berbaki hanya beberapa bulan saja lagi menjelang konsertnya di Kuala Lumpur, Beliebers di Malaysia mengharapkan semoga Justin Bieber segera sembuh atau mereka segera mendapat refund hendaknya.

BACA: Kerajaan Digesa Bendung Acara Liar, Konsert Justin Bieber Di Malaysia Mungkin Akan Dibatalkan

Sumber: Facebook Yazeed Hair Johari, Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan