Betul Ke Mayat Jadi Berat Jika Baring Sewaktu Mendengar Azan? Ini Penjelasan Mufti

Seringkali kita dengar ungkapan jika berbaring ketika mendengar azan kelak apabila meninggal dunia, mayat akan menjadi berat. Sehingga ke besar ungkapan ini sering kedengaran disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Namun pernah terfikir atau tidak sejauh mana kebenaran ungkapan ini daripada sisi agama?

Menurut Mufti Wilayah Pesekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memang terdapat hadis yang menyebut supaya bangun ketika mendengar laungan azan,

إذا سَمِعْتُمُ النِّداءَ فَقُومُوا فإِنَّها عَزْمَةٌ مِنَ الله

Maksudnya :” Jika kalian mendengar seruan azan maka bangunlah. Ia adalah hak dan kefarduan daripada Allah.”

Hukum Baring Ketika Azan

Namun hadis ini dicenderungkan kepada hadis palsu kerana di dalam sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang bernama Al-Walid Bin Salamah yang dihukum sebagai pendusta oleh kebanyakan ulama yang pakar dalam ilmu ‘ilal dan Jarh Al-Ta’dil dan ini turut dinyatakan oleh Sheikh Ali Al-Halabi.

Tidak salah berbaring ketika mendengar azan, namun jangan lalai untuk menjawab azan yang dilaungkan dan bersegeralah menuju ke surau atau masjid berdekatan bagi menunaikan solat berjemaah kerana banyak kelebihan yang boleh diperoleh.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Saiid Al-Khudri, Nabi SAW pernah bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya :” Jika kalian mendengar seruan azan maka katakanlah seperti mana yang dikatakan oleh tukang azan.”

Riwayat Al-Bukhari (611)

Semoga kita menjadi orang yang tergolong dalam golongan tidak lalai dalam menjalankan perintahnya.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!