
Betul Ke Jepun Tanggung Separuh Kos ‘Travel’ Pelancong Luar? Ini Sebenarnya
Hujung Mei lalu, media melaporkan kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan rancangan untuk membayar separuh kos penerbangan pelancong sebagai usaha untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan yang mengalami kemerosotan mendadak akibat krisis COVID-19.
Rancangan yang bakal menelan belanja £10.2 bilion berkemungkinan bermula seawal bulan Julai jika kadar jangkitan terus menurun, menurut Japan Times. Pesuruhjaya Agensi Pelancongan Jepun Hiroshi Tabata memaklumkan perincian skim itu masih di peringkat perbincangan.
Laporan media antarabangsa sebelum ini mengatakan rancangan tersebut turut membabitkan pelancong luar kerana Jepun mahu menarik kembali jumlah pelancong ke negara tersebut selepas bilangan pelancong turun 99.99%, dengan hanya 2,900 pelancong dari luar negara sepanjang April.
Usah berangan kerana rancangan tersebut bagaimanapun hanyalah difokuskan untuk merevitalisasi pasaran pelancongan domestik. Dalam erti kata lain, program yang dinamakan Go to Travel itu hanya berlaku untuk pelancong tempatan sahaja.
“Pada masa ini, inisiatif seperti ini akan ditujukan hanya untuk orang yang tinggal di Jepun, bukan pengunjung asing. Sokongan akan ditawarkan untuk menampung sebahagian dari kos perjalanan domestik,” kata jurucakap Japan Nation Travel Organisation (JNTO).
Sebaliknya, Negara Matahari Terbit baru sahaja menambah senarai negara yang dilarang memasuki rantau ini. Senarai terbaru merangkumi 11 negara, iaitu Afghanistan, Argentina, India, El Salvador, Ghana, Guinea, Kyrgyzstan, Tajikistan, Pakistan, Bangladesh dan Afrika Selatan.
Jepun mengenakan larangan masuk terhadap rakyat dari 111 negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat, sebahagian besar negara Asia dan seluruh Eropah, berkuat kuasa sehingga akhir Jun.
Larangan masuk berlaku untuk semua pelancong, penduduk tetap, pemegang visa jangka panjang, dan pasangan dan anak-anak mereka yang bukan Jepun.
Sementara itu, Jepun sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan larangan masuk kepada pelawat dari Thailand, Vietnam, Australia dan New Zealand. Langkah menarik balik sekatan yang pertama mungkin akan dilaksanakan pada musim panas ini, selepas kerajaan meneliti dan membuat perjanjian dengan keempat-empat negara itu.
Malaysia masih tiada dalam senarai yang disebut Jepun. Maka, anda yang berangan ingin melancong ke Jepun kerana khabar tanggungan separuh kos penerbangan itu, mungkin perlu bersabar lagi.
Sumber: Japan Times