
Bermula Dengan Kedai Kecil Perkakasan Rumah, Kini MR D.I.Y Dalam Pasaran Bursa Malaysia
Bermula Dengan Kedai Perkakasan Rumah, Kini MR D.I.Y Dalam Pasaran Bursa Malaysia.
Sebut sahaja MR D.I.Y, pastinya akan terbayang pelbagai jenis barang serbaguna daripada barang perkakas rumah hinggalah aksesori kereta.
Kadang kala, tiada perkara penting untuk membeli tetapi masih juga untuk masuk ke dalam kedai untuk ‘mencuci mata’. Dan akhirnya keluar dari kedai dengan sekurang-kurangnya satu beg plastik.
Sejarah syarikat
Ketika ini, ke mana sahaja di sesebuah pusat membeli-belah, di deretan rumah kedai pasti sekurang-kurang terdapat sebuah kedai MR D.I.Y.
Tahukah anda, kedai pertamanya di mana?
MR D.I.Y bermula pada tahun 2005 dan kedai pertamanya terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Jika dilihat pada masa itu ianya merupakan kedai perkakasan barangan rumah yang biasa, seperti mana di tempat lain.
Pada hari ini, kedai MR.D.I.Y menawarkan suasana membeli-belah yang lebih menarik dan moden, yang mana semua barangan keperluan rumah boleh pelanggan dapati dengan mudah di bawah satu bumbung.
Ia menjadi peruncit perkakasan rumah terbesar di Malaysia dan kini terdapat separuh ribu buah cawangan di seluruh negara, termasuk beberapa di Brunei dan Indonesia.
Tambahan pula, MR D.I.Y kini membuka anak syarikatnya iaitu 60 kedai MR DOLLAR dan 47 kedai MR TOY iaitu masing-masing bakal dibuka di sekitar Malaysia dalam tempoh dua tahun ini.

MR D.I.Y dilihat begitu berjaya dengan beratus-ratus pembukaan cawangan, salah satu faktornya barangan di situ dijual pada harga yang amat berpatutan berbanding kedai perkakasan rumah yang lain di sini. Sesuailah dengan slogan ‘Always Low Price’ mereka.
MR D.I.Y mempunyai rangkaian barangan yang pelbagai dan menarik untuk pelanggan pilih dan membeli. Rangkaian runcit barangan rumah itu menawarkan lebih 16,600 jenis produk merangkumi 10 kategori termasuk perabot, aksesori komputer dan telefon mudah alih, perkakasan serta dan mainan.
Kejayaan luar biasa MR D.I.Y ini telah mendapat anugerah ‘Kedai Harga Patut’ oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2016.
Selalunya, jika sesebuah syarikat itu berjaya, kita juga akan mengenali figura disebaliknya. Tetapi berkenaan MR D.I.Y, tidak dapat banyak maklumat yang diperoleh di Internet.
Pengarah Urusan MR D.I.Y ialah Adrian Ong dan firma ekuiti swasta mereka, Creador ialah En. Brahmal Vasudevan. Creador merupakan sebuah firma ekuiti persendirian yang banyak melabur ke dalam syarikat-syarikat berpotensi di Asia.
MR D.I.Y disenarai di Bursa Malaysia
26 Oktober 2020, Mr D.I.Y Group (M) dijadual disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd dengan menyasar untuk meraih dana RM1.5 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO).
Ia bakal menjadikan IPO peruncit perkakasan rumah itu sebagai yang terbesar dalam pasaran saham tempatan sejak tiga tahun lalu. Dana berkenaan bakal dijana menerusi tawaran 941.9 juta saham biasa baharu dan sedia ada dengan harga IPO RM1.60 sesaham.
Sumber: BH, MR DIY, Maher Saham