
Bermula Jual Keropok Dari Meja Ke Meja, Lelaki Ini Akhirnya Berjaya Buka Kedai Sendiri
Bermula Jual Keropok Dari Meja Ke Meja, Lelaki Ini Akhirnya Berjaya Buka Kedai Sendiri
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Itulah yang boleh digambarkan mengenai kesungguhan seorang individu yang berkongsi kisah mencari rezeki di Facebook. Dia berjalan kaki dari satu meja ke satu meja untuk menjual keropok dengan harga RM2 sebungkus.
Menerusi perkongsian tersebut, Dinie Shazwi meminta maaf kepada semua mereka yang tidak selesa akan kehadirannya yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang orang ramai ketika dia menghampiri mereka untuk menjual keropoknya.
Namun, berkat kesungguhannya itu, dia kini berjaya membuka sebuah kedai hasil daripada jualan yang dikumpulnya selama dua tahun menjaja.
Minta maaf ganggu makan

Assalammualaikum. Kawan-kawan PSP.
Ingat lagi tak. Saya jual keropok sambil membawa bakul? Bakul yang penuh berisi keropok. Saya sebenarnya nak minta maaf kepada kawan-kawan PSP semua atas kehadiran saya jual keropok dahulu. Anda tengah menjamu selera bersama keluarga tiba-tiba saya muncul datang di tepi anda.
“Assalammualaikum. Saya minta maaf encik ganggu encik makan. Saya jual keropok sebungkus 2 ringgit”. Tersengih-sengih saya di hadapan anda. Tetapi dalam hati saya letakkan harapan tinggi kawan-kawan dapat beli keropok saya tu. Ada yang beli walaupun dalam keadaan marahkan saya. Ada yang beli sebab sokong perniagaan saya. Ada yang halau saya. Ada yang mencemuh saya. Ada yang suruh simpan baki. Ada yang ketawakan saya.
Saya minta maaf atas kehadiran saya menjual keropok secara meja ke meja selama 2 tahun. Saya minta maaf kerana mengganggu kawan-kawan PSP semua menjamu selera. Banyak dosa saya dengan kawan-kawan PSP. Maafkan saya ya.
Sungguhpun begitu, dalam masa 2 tahun. Saya berjaya dapat kumpul sedikit modal untuk mulakan semula perniagaan Udang Mayo yang sekarang.
Katanya, modal ilmu, pengalaman, motivasi dan semangat yang dia dapat di jalanan dengan menjual keropok secara meja ke meja.
Dinie Shazwi juga berterima kasih kepada pemilik kedai yang memberi kebenaran kepadanya ketika itu.

“Hari ini saya sudah ada premis perniagaan seperti anda. Dalam masa saya menjual keropok saya berangan-angan nak ada kedai. Hari ini sudah tercapai impian saya.”
Dalam pada itu, Dinie Shazwi juga mempromosi kedainya yang bernama Udang Mayo, berlokasi di foodcourt garden station (sebelah Tesco Bakar Arang).
Sumber: Udang Mayo Sungai Petani