Mamak

Berita Gembira! ‘Menu Bajet’ Bakal Diperkenalkan Di Lebih 10,000 Restoran Mamak

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bagi meringankan beban rakyat terutamanya golongan B40 di kawasan bandar yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, satu menu bajet akan diperkenalkan di lebih 10,000 restoran mamak di seluruh negara.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif tersebut akan dibincangkan di antara pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, harga menu berkenaan belum lagi dapat didedahkan, namun ianya dikatakan akan diselaraskan bersesuaian dengan jenis makanan dan tempoh waktu tertentu.

“Sajian pada harga mampu milik atau bajet itu akan selaras di semua restoran mamak sama ada pada waktu siang atau malam.

“Namun, ia mungkin bergantung kepada tempoh waktu tertentu dan harganya akan ditetapkan nanti selepas perbincangan dengan kementerian berkaitan,” katanya yang dipetik oleh wartawan Iskandar Shah Mohamed dari Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga kelak akan dipantau sepenuhnya oleh kementerian bertanggungjawab bersama dengan pihaknya.

“Biarpun keuntungan itu berkurangan, apa yang penting adalah pertambahan kuantiti hidangan pelanggan. Sebagai contoh, harga nasi bersama lauk atau roti canai akan dijual pada harga paling minimum sekaligus meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelanggan.

“Semua restoran yang berdaftar dengan PRESMA setakat ini bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya bagi pelaksanaan itu.

“Kita mempunyai seramai 4,000 ahli dan lebih 10,000 restoran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” tambahnya lagi.

Pihaknya menjangkakan menu bajet itu akan dilaksanakan pada awal tahun 2023.

Mamak

BACA: Harga Makanan Restoran Mamak Dijangka Meningkat Tahun Hadapan

Sumber: Utusan Malaysia