
‘Berebut Nak Sedekah Tapi…’ – Netizen Tegur Golongan Agih Makanan Hingga Terbiar Tepi Jalan
Apabila tiba bulan Ramadan, pastinya ramai pihak berlumba-lumba untuk membuat kebaikan termasuklah mengagihkan makanan kepada pihak yang memerlukan seperti gelandangan.
Walau bagaimanapun, budaya amalan bersedekah ini dipandang tidak elok apabila timbul isu berlakunya pembaziran makanan sehinggakan setiap kali Ramadan pasti tidak lari dengan isu lambakan makanan hanya sebab orang berlumba-lumba mahu bersedekah.
Terbaharu, seorang pengguna Twitter @Mulut_Cabai berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan beberapa pek makanan dipercayai lebihan agihan yang terbiar di tepi jalan.
Menerusi ciapan pengguna Twitter itu, dia berasa kesal dengan sikap golongan ini yang mengulangi kesilapan sama setiap kali bulan Ramadan.
Ia berpunca apabila tiada komunikasi antara pemberi sedekah, pihak perantara terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penerima.
“Semua berebut nak buat amal bulan Ramadan. Tapi jangan sampai membazir dan menyusahkan. Tiap tahun ulang-ulang benda sama, ego tak nak belajar atau kerjasama, semua nak kejar nama.”
Makanan terbiar sampai basi sebab semua nak menderma 20-30 bungkus
“Inilah yang berlaku setiap Ramadan. Setiap hari seorang gelandangan dapat 20 ke 30 bungkus. Kau ingat perut diaorang kawah kenduri?”
“Bila ditgur, melenting. Tapi diri yang tak nak bertanya, belajar. Semua semata nak kejar foto amal tunjuk pada dunia.”
Dalam pada itu, dia juga memberi cadangan beberapa tempat yang bersesuaian untuk golongan pemberi sedekah membuat amal jariah.
1. PPR
Selain golongan gelandangan, penduduk PPR juga sebenarnya memerlukan makanan.
2. Waris pesakit di hospital
Ada kalanya mereka juga tidak sempat membeli juadah berbuka kerana kesibukan menjaga pesakit.
3. Pengawal keselamatan
Boleh juga pertimbang jika mahu bersedekah makanan kepada mereka.
4. Pelajar
Para pelajar kolej yang kurang berkemampuan untuk membeli juadah berbuka atau sahur.
5. Bekerjasama dengan NGO lama
Pentingnya bertanya jika sesuatu tempat itu sudah ada NGO yang bertugas.
Justeru, dalam hendak mencari pahala sempena Ramadan, nak sedekah amal jariah pun berpada-padalah supaya niat baik kita tidak bertukar kepada pembaziran.