
Berdepan Hukuman Penjara 5 Bulan, Pencetus Kluster Sivagangga Juga Bakal Disaman RM1Juta
Setelah beberapa minggu, pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh yang juga menjadi pencetus kluster PUI Sivagangga dilaporkan bakal berdepan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret.
Berita mengenai hukuman ini amat dinanti-nantikan orang ramai kerana telah menyebabkan penularan tidak terkawal sehingga telah merebak ke beberapa negeri yang lain dan penduduk sekitar kawasan itu pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) sehingga 30 Ogos ini.
Berikutan itu, penduduk dan pemilik kedai di Napoh akan memfailkan saman RM1 juta terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha minggu hadapan bagi menuntut kerugian yang dialami selepas mencetuskan kluster PUI Sivagangga.
Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata tuntutan saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin sehingga menyebabkan virus COVID-19 merebak, menurut FMT.
Seramai 150 pengadu yang terjejas dan enam badan bukan kerajaan (NGO) akan turut serta menyaman pemilik kedai terbabit.
“Kami berharap tindakan ini akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sehingga kini penularan kluster PUI Sivagangga menyebabkan penduduk dan peniaga yang terjejas kerugian RM14,000 seorang. Impaknya, ada penduduk mengalami tekanan bukan saja kerugian tetapi ada yang terasa dipulaukan malah orang luar tidak berani nak berkawan malah tidak boleh keluar bekerja.
Terdahulu, Nezar Mohamed mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada bulan lalu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Hospital Alor Setar.
Hukuman penjara tidak dapat berjalan ketika ini memandangkan tertuduh masih dalam proses pemantauan di hospital tersebut.
Sumber: BH